suria

Modenas Pertaruhkan Motosikal Kriss MR2

SHAH ALAM: Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran kepada 10 peratus menjelang akhir 2017 dengan mempertaruhkan motosikal generasi terbaharunya, KRISS MR2.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Amirudin Abd Kadir berkata Modenas, unit DRB-Hicom Bhd, menguasai tujuh peratus pasaran bagi kategori cub pada tahun kewangan 2015/16.

Semasa bercakap dengan pemberita pada majlis pelancaran KRISS MR2, di sini, Khamis, beliau berkata Modenas menyasarkan untuk mencapai jumlah jualan sebanyak 60,000 unit di pasaran tempatan dan rantau ini menjelang akhir tahun.

"Kami berharap dapat menjual antara 1,200 dan 1,500 unit MR2 setiap bulan," katanya sambil menambah bahawa syarikat telah meningkatkan kecekapan pembuatan dan perkhidmatan selepas jualannya.

Amirudin berkata MR2 yang mempunyai enjin empat lejang yang mematuhi piawaian baharu Euro 3 dan berkuasa 110cc itu pasti menarik perhatian generasi muda yang mencari keseimbangan antara kuasa dan nilai bagi wang.

Beliau berkata Modenas juga merancang untuk membuka kemudahan pusat latihannya yang kedua di Pusat Servis Subang pada pertengahan April 2017, untuk terus meningkatkan lagi perkhidmatan selepas jualan dan rangkaian pengedarnya.

Motosikal KRISS MR2 itu dijual pada harga atas jalan RM3,890.

Ciri-ciri lain termasuk reka bentuk lampu hadapan dan belakang yang lebih bergaya, manakala kapasiti tangki minyaknya yang bersaiz 4.5 liter berupaya mencapai jarak perjalanan sejauh 200 kilometer.-- Bernama

Kriss MR2, Modenas

Artikel Lain