suria

Celcom Yakin iPhone 7 Akan Atasi Jualan Model Sebelum Ini

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd yakin jualan iPhone 7 dan iPhone 7 Plus akan mengatasi model sebelum ini, memandangkan model terbaru itu menampilkan ciri-ciri canggih dan ditambah tawaran pakej menarik syarikat telekomunikasi.

Ketua Pegawai Pemasaran, Zalman Aefendy Abidin berkata Celcom Axiata mencatatkan tempahan awal 1,000 unit bagi telefon bimbit pintar itu sebelum pelancarannya pada Jumaat.

"iPhone 7 adalah telefon bimbit pintar yang hebat dan ia merupakan peningkatan daripada model sebelum ini.

"Kami mahu memastikan pengguna mempunyai rangkaian terbaik di sebalik iPhone 7, kerana tanpa liputan hebat, tiada guna mempunyai sebuah telefon yang canggih," katanya semasa taklimat media selepas pelancaran iPhone 7 dan iPhone 7 Plus di sini, Jumaat.

Pengguna fanatik iPhone berada di Blue Cube Celcom di pusat beli-belah Sunway Pyramid seawal 7 pagi, dengan harapan menjadi tujuh pelanggan bertuah membeli telefon itu pada harga RM7.

Sempena pelancaran tersebut, Celcom turut menganjurkan permainan 'spin the wheel' yang memberi peluang kepada pelanggan memenangi iPhone 7 pada harga RM7, RM77 atau RM777, serta aksesori.

Bagi pelan Celcom First iPhone 7, pakej Internet 12GB berharga RM98 dengan  iPhone 7 berharga daripada RM2,058 dan iPhone 7 Plus daripada RM2,558.

Pelan Celcom First Platinum pula menawarkan pakej Internet 18GB pada RM150 dengan iPhone 7 berharga daripada RM1,688 dan iPhone 7 Plus daripada RM2,188.-- Bernama

iPhone 7, Celcom

Artikel Berikut

Artikel Lain