suria

Halal, E-Dagang & Sains Hayat Fokus Utama Ekspo Antarabangsa Selangor 2016

SHAH ALAM: Selangor akan memberi tumpuan kepada tiga industri iaitu halal, e-dagang dan sains hayat dalam Ekspo Antarabangsa Selangor 2016 untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan Negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata, ekspo tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri yang dilihat mempunyai potensi besar dalam pasaran tempatan dan luar negara.

"Saya menyeru para usahawan dan mereka yang terlibat dalam tiga industri fokus itu merebut peluang ini bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui expo perniagaan ini.

"Kami akan terus mewujudkan persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur dengan cara mewujudkan jaringan perniagaan baharu, perkhidmatan serta insentif yang kompetitif yang disediakan agensi pelaburan berkaitan serta mempromosikan Selangor ke seluruh dunia sebagai 'Negeri Emas Malaysia'," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Chang Khim berkata demikian selepas merasmikan detik tujuh hari sebelum bermulanya Ekspo Antarabangsa Selangor 2016 anjuran Invest Selangor yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan.

Menurutnya, ekspo itu juga bakal menjadi landasan terbaik kepada syarikat tempatan dan luar negara untuk menjalinkan hubungan perniagaan di samping mengembangkan skop perniagaan mereka.

Beliau berkata penganjuran kali kedua ekspo berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pelabur, komuniti perniagaan tempatan dan luar negara dengan menyediakan peluang tambahan bagi memacu perniagaaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Tahun lalu mencatatkan penyertaan 400 pempamer dan 282 daripadanya adalah pempamer antarabangsa.

"Bagi tahun ini, penyertaan dijangka lebih besar dan sehingga kini hampir 600 syarikat telah membuat pengesahan untuk menyertai ekspo tersebut termasuk dari negara China, Hong Kong, Taiwan, India, Iran dan Eropah," kata Chang Khim.

Sementara itu, katanya, tokoh dan selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Rosyam Noor, Datuk Siti Nurhaliza dan Pengasas syarikat D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D'Herbs) Datuk Aliff Syukri Kamarzaman akan turut memeriahkan ekspo tersebut dengan berkongsi pengalaman dalam bidang perniagaan serta kejayaan mereka masing-masing. -- Bernama


Artikel Lain