suria

FAMA Eksport 'Anak Sekolah' Ke China

ARAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengeksport rambutan 'Anak Sekolah' ke pasaran China mulai akhir tahun ini, kata Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata untuk peringkat permulaan, China membenarkan penghantaran 10 tan metrik rambutan itu yang bernilai RM4,000 bagi satu tan.

"Rambutan ini nanti akan dieksport dengan kapal terbang. Pada masa sama FAMA masih mengkaji teknologi yang membolehkan rambutan tersebut dapat bertahan lebih daripada 10 hari agar ia boleh dihantar menggunakan kapal laut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan peringkat sekolah negeri Perlis di Sekolah Kebangsaan Arau di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad, rambutan Anak Sekolah atau nama saintifiknya R 191 menjadi pilihan China kerana kualitinya yang menepati citarasa pasaran di negara itu yang kulitnya adalah nipis sementara isinya tebal.

"Pasaran baharu ke China diharap dapat mengurangkan masalah longgokan rambutan dalam negara setiap kali tiba musimnya," katanya.

Beliau berkata permintan rambutan itu ditampung melalui bekalan dari dusun di Kedah, Kelantan, Perak, Johor dan paling banyak di Sarawak. - BERNAMA

FAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain