suria

Pelabuhan US Mahu Perjanjian TPPA Direalisasikan

NEW YORK: Operator pelabuhan di Amerika Syarikat (US) menyambut baik pengesahan dan pelaksanaan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun masa depannya masih merupakan tanda tanya besar berikutan pemilihan Presiden negara berkenaan.

Ada kemungkinan Presiden baharu akan memperlahankan atau mengetepikan sama sekali TPPA memandangkan kedua-dua calon Presiden dari Republikan Donald Trump dan calon Demokrat Hillary Clinton, menyatakan mereka tidak memihak kepada TPPA.

Port of Corpus Christi (PCC) adalah antara pelabuhan yang memihak kepada TPPA walaupun Suruhanjaya PCC belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.

"Kami, seperti pelabuhan lain, menyokong TPPA walaupun Suruhanjaya Pelabuhan belum lagi mengambil pendirian rasmi terhadapnya.

"Saya juga telah bertemu dengan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat, dan berharap ia dapat dilaksanakan," kata John P. LaRue, Pengarah Eksekutif PCC dalam temu bual dengan Bernama di Pusat Media Asing Jabatan Negara US di sini.

PCC terletak di Corpus Christi di pantai Texas, di pertengahan Houston dan Mexico.

Pelabuhan kelima terbesar US dari segi jumlah tan pengendalian kargo itu merupakan pelabuhan air dalam utama yang mempunyai potensi pertumbuhan di Teluk Mexico.

LaRue berkata pelabuhan di US berminat melihat perjanjian TPPA direalisasikan kerana ia akan membuka peluang yang besar bagi pelabuhan di negara itu meraih manfaat daripada perdagangan yang semakin meningkat, terutama jumlah kargo berasal dari atau menuju pelabuhan di Asia Pasifik.

Beliau berkata Asia, sebagai rantau pertumbuhan yang baik, sangat penting bagi PCC.

Selain negara dengan jumlah kargo yang besar seperti China, Jepun, Taiwan dan Korea, kawasan dan negara lain yang menjanjikan peluang besar ialah Asean serta India.

Walaupun PCC tidak menerima kapal kontena, ia mempunyai hubungan trafik yang besar dengan Asia, dan pelabuhan ini berminat untuk melihat TPPA dilaksanakan.

"Corpus Christi masih merupakan kawasan penanaman utama kapas, dan kami menghantar banyak kapas ke Eropah, Amerika Tengah dan Selatan serta Asia.

"Oleh itu banyak kapas yang masuk ke sana kembali ke Amerika Syarikat dalam bentuk pakaian yang kita pakai, namun ia bermula di Texas selatan.

"Dan tenaga adalah asas kami, dan tenaga bukan sekadar minyak... kami adalah pelabuhan pengimport/eksport tenaga angin terbear di US.

"Kami menjayakan banyak industri berkaitan gas asli memandangkan kami mempunyai banyak gas asli, oleh itu kami menjadi - pelaburan langsung asing, dengan banyak syarikat datang mendadak untuk mencari tempat di mana mereka boleh memperoleh bekalan gas asli yang stabil," kata LaRue.

Syarikat Asia juga mengintai pembangunan infrastruktur dan bidang kepentingan lain di Corpus Christi, dengan kemungkinan pelaksanaan TPPA mendorong banyak syarikat Asia beroperasi dalam pasaran ini berbanding hanya mengeksport.

Antara pelabur utama, Tianjin Paip Corporation America, membangunkan kilang paip bernilai $1.3 bilion.

Paip itu yang digunakan oleh industri minyak dan gas, dihasilkan menerusi  kitar semula campuran sekerap keluli dan besi jongkong.

LaRue, yang diiringi Tommy Kurtz, Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Ekonomi Wilayah Corpus Christi dalam temu bual itu, berkata PCC memperuntukkan US$100 juta (US$1.00 = RM4.00) untuk pembangunan infrastruktur, termasuk jalan raya, limbungan serta pembelian tanah.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk membekalkan turbin angin di seluruh dunia juga berminat untuk mengetahui bahawa Eropah membekalkan produk berkenaan ke US menerusi PCC. - Bernama

TPPA, US

Artikel Lain