suria

KB Group Akan Lancar Projek Dengan NPK RM1 Bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah dan tempat peranginan, KB Group Sdn Bhd, berhasrat melancarkan dua projek pembangunan masing-masing di Lumut dan Ipoh, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (NPK) keseluruhan RM1 bilion, tahun ini.

Projek di Ipoh dengan pelaburan kira-kira RM600 juta masih di peringkat perancangan.

Pengarah Urusan KB Group, Datuk Roslan Khalid berkata projek pembangunan di Lumut dengan NPK kira-kira RM400 juta dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Pembangunan berkenaan merupakan sebuah tempat peranginan yang akan dinamakan Hotel Ramada-Resort dengan bertaraf empat bintang di atas tanah seluas 1.9 hektar dan ia adalah projek perkongsian dengan Ramada Group.

Ia dijangka menjadi bangunan hotel tertinggi dengan jumlah bilik paling banyak di Perak.

"Pada masa ini, kami memilih lokasi pinggir bandar, berbanding kawasan tumpuan seperti Lembah Klang atau Johor. Kami juga sedang mencari lokasi yang mempunyai potensi pertumbuhan.

"Kami memilih Lumut kerana ia mempunyai kawasan dengan hanya beberapa hotel yang maksimum bertaraf tiga bintang. Ahli perniagaan yang datang ke situ (Lumut dan Manjung) tidak mempunyai pilihan (untuk hotel) selain menginap di hotel yang sedia ada di sana," katanya.

Beliau berkata Manjung, yang terletak berhampiran Lumut merupakan kawasan sumber semula jadi, dengan menawarkan pembangunan pertanian, di samping pembuatan, minyak dan gas.

"Ia juga daerah yang sedang pesat membangun di Perak ketika ini. Oleh itu, keperluan hotel di Lumut sangat tinggi berbanding di Pulau Pangkor," katanya.

Roslan berkata jumlah pemilikan hartanah semasa di Perak antara ketiga tertinggi dari segi jualan hartanah di seluruh negara, dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah pertengahan meningkat sebanyak 12.9 peratus antara 2012 dan 2014.

"Kontrak pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat yang telah diberikan dengan sasaran tarikh siap sekitar 2019 sudah pasti memendekkan lagi jarak perjalanan dari Lembah Klang ke Lumut kepada dua setengah jam," katanya.

Hotel Ramada-Resort dijangka siap menjelang akhir 2018 dan Roslan berkata ia akan memanfaatkan potensi pertumbuhan Manjung dan Lumut.

"Hartanah ini akan dijual, dan kemudian dipajakkan oleh pembeli bersama jaminan pulangan sewa (GRR) sebanyak tujuh peratus bagi tiga tahun pertama, di bawah pengurusan pajak-balik dengan mereka," katanya.

Bagi tiga tahun berikutnya, Roslan berkata, GRR akan meningkat kepada 7.3 peratus, sebelum naik lagi kepada 7.5 peratus.

Beliau berkata projek tersebut akan dilancarkan dan dibuka untuk tempahan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

"Kami akan mulakan di Pulau Pinang, dan kemudian ke negeri-negeri lain, di samping itu juga akan ditawarkan kepada pembeli asing," katanya.

Mengulas mengenai projek di Ipoh, beliau berkata syarikat akan menyerahkan pelan kepada pihak berkuasa yang berkenaan tidak lama lagi dan berharap ia diluluskan sebelum akhir tahun ini.

Ketika ditanya kemungkinan penyusutan ringgit dan persekitaran ekonomi yang mencabar boleh menjejaskan momentum pembelian, Roslan berkata syarikat turut membuka tawaran kepada pembeli asing.

"Kami sebenarnya turut membuka tawaran belian untuk pembeli dari negara lain seperti Singapura, Brunei dan Indonesia. Ada juga minat belian dari Filipina, Asia Barat, China dan Taiwan untuk beberapa hartanah kami.

"Pembeli luar negara melihat kepada keseluruhan potensi pertumbuhan di wilayah ini. Mereka yang berpengalaman dalam pelaburan tahu krisis (ekonomi) akan berakhir, dan keadaan akan pulih dalam tempoh satu atau dua tahun lagi," katanya.

KB Group, Perak

Artikel Lain