suria

MRCB-George Kent Penuhi Kriteria Ketat - Prasarana

KUALA LUMPUR: MRCB-George Kent Joint Venture yang dipilih daripada kalangan tujuh penender yang membida projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) memenuhi penilaian ketat yang ditetapkan oleh Prasarana Malaysia Bhd.

MRCB-George Kent Joint Venture dipilih daripada kalangan penender itu dalam satu tender tertutup antara 9 April dan 9 Jun, 2015.

Tujuh penender itu, yang disenarai pendek daripada 11 pembida yang menyertai tender prakelayakan pada November 2014, ialah IJM Corp Bhd, MMC Corp-Gamuda Joint Venture, Naza TTDI-CSR Zuzhou Locomotive Joint Venture, Sunway Construction Bhd, UEM Group Bhd, WCT-Alloy MTD Joint Venture dan MRCB-George Kent Joint Venture.

Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat Prasarana, Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd Datuk Zohari Sulaiman berkata tidak semua daripada tujuh penender itu memenuhi penilaian ketat yang ditetapkan.

"Rakan Kongsi Penyediaan Projek (PDP) dipilih selepas beberapa penilaian ketat pada pelbagai tahap, termasuk Menteri Kewangan Diperbadankan, yang menjadi pemegang saham terbesar Prasarana.

"Ingin dinyatakan bahawa tidak semua tujuh penender itu, termasuk yang memiliki pengalaman bertahun-tahun, memenuhi penilaian ketat tersebut," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Zohari berkata di bawah keperluan teknikal, penender dinilai berdasarkan kepada reka bentuk konsep bagi stesen, pusat kawalan operasi, depot, dan kerja sistem, selain menyediakan rangka kerja penilaian analisis kos kitaran hayat.

"Ini membolehkan penender mempamerkan kefahaman mereka dalam membangunkan dan menilai cadangan reka bentuk dengan pertimbangan kos kitaran hayat," katanya. 

Beliau berkata di bawah strategi PDP, selepas memenuhi tempoh akhir projek dan pelbagai petunjuk prestasi utama termasuk keselamatan dan kualiti, PDP berhak mendapat bayaran enam peratus daripada jumlah pemberian tender, yang dianggarkan RM9 bilion.

Menurutnya, ia sama dengan model MRT Line 2model, bayaran enam peratus tidak termasuk overhed. -- Bernama



MRCB-George Kent, Prasarana

Artikel Lain