suria

MMC Corp Akan Perkukuh Perniagaan Di Iskandar Malaysia

Che Khalib Mohamed Noh

JOHOR BARU: MMC Corporation Bhd sentiasa meninjau peluang bagi pengembangan serta memperkukuh perniagaannya di Iskandar Malaysia, kata Pengarah Urusannya, Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh.

Malah, katanya, syarikat di bawah kumpulan itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) misalnya, adalah antara pelabuhan utama bagi Iskandar Malaysia.

"Lokasi strategik Iskandar Malaysia sudah pastinya menjadi gerbang kesempatan untuk kami memenuhi visi menjadi pelabuhan pilihan di rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

PTP adalah syarikat usahasama antara MMC Corp (70 peratus) dan APM Terminals yang memiliki rangkaian global di 69 negara.

Che Khalib berkata demikian selaku antara ahli panel di program 'Invest Iskandar Malaysia 2015' anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, Selasa.

Beliau turut berkongsi strategi pelaburan MMC Corp dan bagaimana syarikat itu meneruskan landasan pertumbuhannya menerusi langkah kepelbagaian dan inovasi.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, MMC turut mengetengahkan perniagaan membabitkan syarikat-syarikatnya iaitu PTP, Johor Port, Bandar Lapangan Terbang Senai, Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Senai dan Seaport Worldwide.

Sejak beberapa tahun lepas, MMC Corp terbukti berkembang pesat menjadi antara kumpulan penyedia kemudahan dan prasarana dengan pelbagai cabang perniagaan termasuk pelabuhan dan logistik, tenaga dan kemudahan utiliti serta kejuruteraan dan pembinaan.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain