suria

MRCB Akan Lancar Projek Bercampur Cecah RM1.6 Bilion

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dijangka melancarkan pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) di antara RM1.2 hingga RM1.6 bilion tahun depan.

Projek itu akan dibangunkan di tanah 0.76 hektar yang dibeli daripada kedutaan Jerman bernilai RM259.16 juta melalui bidaan tender baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pasukan pengurusan sedang menimbang pembangunan bercampur mengandungi segmen kediaman dan komersil disebabkan lokasi tanah dan permintaan pasaran.

"Lokasi tanah itu sangat ideal untuk projek kediaman dan komersil.

Pengurusan MRCB sangat gembira untuk memajukan tanah berkenaan yang kami beli daripada kedutaan Jerman baru-baru ini.

"Kami akan mulakan projek itu selepas kami selesai bayar baki 90 peratus harganya. Produk ini sangat penting dan ia akan menjadi faktor penentu keuntungan," katanya kepada pemberita selepas perasmian pejabat baharu Shell Malaysia, Menara Shell, di sini, Khamis.

Mohamad Salim berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam satu fasa sahaja berikutan saiz tanah yang lebih kecil.

MRCB telah memetrai perjanjian jual beli untuk tanah kedutaan Jerman itu melalui anak syarikatnya, Legasi Azam Sdn Bhd, dengan kerajaan Jerman untuk membeli tanah tersebut.

Cadangan pembelian itu dijangka selesai pada Ogos depan dan dijangka tidak memberi kesan penting ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan MRCB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015. -- Bernama

Artikel Lain