suria

Bank Rakyat Serap Caj GST Bagi Perkhidmatan Perbankan

SEREMBAN: Bank Rakyat akan menanggung caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas beberapa perkhidmatan perbankannya termasuk pengeluaran wang melalui Sistem Pembayaran Elektronik (MEPS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata perkhidmatan perbankan lain yang tidak akan dikenakan caj GST ke atas pelanggan Bank Rakyat ialah permohonan dan pembaharuan kad ATM, pindahan wang dari ATM ke Tabung Haji dan pindahan wang ke bank lain melalui Pemindahan Wang Antara Bank (IBFT) dan Interbank GIRO (IBG).

"Bank Rakyat sentiasa meletakkan kemudahan kepada ahlinya dan ini tidak akan menjejaskan keuntungan Bank Rakyat.

"Saya berharap apa yang dibuat oleh Bank Rakyat ini dapat diikuti juga oleh bank-bank lain iaitu menyerap cukai yang ada ini supaya rakyat tidak dibebankan," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) di sini, Khamis.

Pada majlis tersebut, Hasan yang mewakili Bank Rakyat Negeri Sembilan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.09 juta kepada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Ini negeri keempat Bank Rakyat serahkan zakat perniagaan selepas Melaka, Kelantan dan Selangor," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata Bank Rakyat Negeri Sembilan mencatat untung operasi sebanyak RM91.687 juta bagi tahun lepas berbanding RM81.875 juta pada tahun 2013.

"Cawangan ketujuh Bank Rakyat di negeri ini di Kuala Pilah dijangka akan dirasmikan selewat-lewatnya Jun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Besar PZNS Nor Azmi Musa berkata kutipan zakat harta di negeri ini dari Januari 2015 hingga kini berjumlah RM21.528 juta.

"Di samping mengadakan usaha dakwah yang agresif, PZNS juga menyediakan kemudahan pembayaran yang pelbagai seperi kaunter-kaunter zakat yang bercirikan 'mesra pelanggan' di setiap daerah.

"PZNS juga memperkenalkan Skim Pembayaran Zakat Melalui Potongan Gaji dengan kutipan bulanan mencecah sebanyak RM2.8 juta," katanya.-- Bernama

Bank Rakyat, GST, ATM

Artikel Berikut

Artikel Lain