suria

Pengarah TG Offshore Buat Laporan Kepada SC

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tan Kean Soon, Pengarah Bukan Bebas Tanjung Offshore Bhd, telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai apa yang dianggapnya penyelewengan oleh pegawai tertentu syarikat, kata sumber sektor korporat.

Sumber itu berkata, Kean Soon telah menggesa SC menjalankan siasatan mendalam ke atas salah laku komersil yang didakwanya itu.

Pada masa sama, beliau memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, yang menawarkan perlindungan kepada mana-mana pihak yang membuat pendedahan salah laku dalam mana-mana organisasi, perbadanan atau perniagaan.

Menurut sumber itu, Kean Soon menyatakan yang semua bukti yang diperolehinya terletak di bawah bidang kuasa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Ketika melaporkan kepada SC, Kean Soon menyebut beberapa kes yang didakwanya salah guna dana untuk pelbagai tujuan, termasuk beberapa pelaburan yang tidak menguntungkan syarikat.

Kes lain termasuk kegagalan perniagaan pasir kromit di Filipina, perniagaan kapal perkhidmatan luar pesisir yang digugurkan serta pembelian hartanah di United Kingdom, kata sumber itu.

Beliau juga mendedahkan aktiviti individu tertentu yang didakwanya mendapat faedah daripada yuran pengurusan yang tinggi daripada syarikat tersenarai itu.

Dalam laporannya, sumber itu berkata, Kean Soon juga mempertikaikan kesahihan dan kesaksamaan Jawatankuasa Bebas yang mencadangkan beliau serta dua lagi pegawai syarikat, Muhammad Sabri Abdul Ghani dan Datuk Harzani Azmi, digantung daripada syarikat sehingga tindakan seterusnya diambil.

Beliau juga melaporkan kepada SC yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dimaklumkan mengenai dakwaan salah laku terbabit.

Tanjung Offshore, SC, Tan Kean Soon

Artikel Lain