suria

Pergerakan Penumpang Di Lapangan Terbang Kendalian MAHB Meningkat

KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tumbuh 22.4 peratus kepada 8.5 juta bagi Januari 2015 berbanding tujuh juta pada Januari 2014.

MAHB dalam kenyataan pada Selasa berkata, ini bagaimanapun tidak termasuk data Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken (SGIA), Istanbul yang baru dimiliknya.

"Trafik keseluruhan bagi sistem lapangan terbang termasuk SGIA Instanbul menyusut sedikit sebanyak 0.5 peratus kepada 8.53 juta berbanding 8.58 juta pada Januari 2014," katanya.

MAHB berkata, trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang Malaysia Airport Sdn Bhd dalam bulan Januari 2015 terjejas sebahagiannya disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina beranjak daripada Januari pada 2014 kepada Februari bagi 2015.

Faktor lain ialah asas pertumbuhan tinggi yang luar biasa pada 25.8 peratus dari tahun ke tahun yang berlaku pada Januari 2014, katanya.

Katanya KLIA mencatatkan empat juta pergerakan penumpang, menyusut 5.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

Bagaimanapun, MAHB berkata angka trafik bagi Januari 2015 seiring dengan unjuran pertumbuhan sederhana untuk separuh pertama 2015.

"Kami mendapati faktor muatan lebih rendah daripada jangkaan untuk bulan ini walaupun masih terlalu awal untk merumuskan sentimen pengguna mungkin lebih lemah daripada jangkaan," katanya.

Operator lapangan terbang itu turut membuat unjuran optimis berhati-hati bahawa angka trafik penumpang keseluruhan akan seiring dengan jangkaan tahun penuh.

MAHB, SGIA, Istanbul, KLIA

Artikel Berikut

Artikel Lain