suria

Mind Booster Sasar Jualan 15,000 Botol Homeo Sebulan

MELAKA: Mind Booster Berhad, pengeluar produk kesihatan, menyasarkan jualan 15,000 botol produk Homeo Mind Booster sebulan selepas produk itu dilancarkan bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Ahmad Azlan Nik Mud berkata produk makanan tambahan berasaskan madu untuk meningkatkan kesihatan minda dan tubuh manusia itu, dijual pada harga RM75 di Semenanjung Malaysia dan RM85 di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata produk yang didatangkan dengan botol semburan 120ml itu mudah digunakan iaitu dengan menyembur produk itu ke bahagian bawah lidah.

"Produk daripada perubatan homeopati ini didakwa mampu meningkatkan fungsi ingatan, meredakan stres, menajamkan fikiran selain menyingkirkan toksin daripada badan.

"Homeo Mind Booster ini dihasilkan oleh Dr M Kadiri Tahir hasil penyelidikan hampir 20 tahun dengan kerjasama Unipeq Sdn Bhd, anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya.

Nik Ahmad Azlan berkata Mind Booster Berhad yang kini mempunyai 168 pengedar, merancang melantik lebih ramai pengedar di seluruh negara sebagai strategi pemasarannya.

Beliau berkata syarikat itu merancang memberikan satu lot saham syarikat secara percuma kepada 300 pengedar terawal sebagai galakan.

"Kita melihat ini sebagai satu program keusahawanan kepada pengedar kita yang diberikan latihan dan memantau perkembangan mereka supaya menjadi usahawan produk kesihatan yang berjaya," katanya.

Syarikat itu kini dalam proses menubuhkan pusat pengedaran dan pembungkusan di Taman Ayer Keroh Permai di sini bagi memenuhi sasaran jualan 15,000 botol sebulan itu.

Nik Ahmad Azlan berkata syarikat itu juga merancang memasarkan produk itu ke luar negara dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

"Bagaimanapun saya ingin menegaskan kita perlu kuasai pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum ke luar negara," katanya.

Mereka yang berminat menjadi pengedar produk itu boleh menghubungi Pengurus Jualan Mind Booster Berhad, Zafri Shaari di talian 012-6976619 atau 0111-3193499. 


Mind Booster

Artikel Berikut

Artikel Lain