suria

MDV Peruntuk RM200 Juta Sokong PKS Sektor Pertumbuhan Baharu

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan melancarkan strategi korporat baharu MDV bersama Zarinah pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM200 juta untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pertumbuhan baharu.

Sektor-sektor itu termasuklah nanoteknologi, bahan material canggih, robotik, elektrik dan elektronik, serta, pembaikan dan baik pulih penyenggaraan.

Pengerusinya Tan Sri Zarinah Anwar berkata, MDV telah mengagihkan pembiayaan berjumlah RM8.8 bilion kepada lebih 700 projek teknologi yang diusahakan oleh PKS.

"Kami melihat peluang besar bagi PKS dalam bahagian pertumbuhan tinggi ini yang akan membolehkan MDV mengembangkan skop pembiayaan kami bagi meningkatkan nilai dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri," katanya selepas melancarkan strategi korporat baharu MDV, di sini, Khamis.

Zarinah berkata, pembiayaan MDV akan membantu PKS yang gagal memperoleh pembiayaan daripada bank disebabkan oleh ciri-ciri perniagaan mereka yang berisiko tinggi.

"Disinilah di mana kami akan campur tangan bagi membantu perusahaan dan apabila mereka berjaya nanti, mereka akan berupaya memperoleh pembiayaan daripada bank.

"Kami juga akan membantu syarikat baharu memulakan perniagaan," katanya sambil menambah terdapat syarikat yang mencapai kejayaan besar dalam dan luar negara.

"Terdapat beribu-ribu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat seperti Platinum Nanochem tersenarai di Alternative Investment Market London manakala MOL Global diniagakan di NASDAQ di New York," katanya.

Bersempena dengan pelancaran itu, MDV memeterai perjanjian kerjasama menerusi pertukaran perjanjian dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputra, untuk melaksanakan Program Keusahawanan Bumiputera Baharu Awal bagi mewujudkan perusahaan yang berkualiti dan mapan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan menjadi pemangkin pewujudan pekerjaan.

MDV juga bertukar perjanjian dengan Malaysian Global Innovation  and  Creative Centre (MaGIC) berkaitan dengan pelaburan US$3 jutanya dalam projek MaGIC Cerebro yang akan diuruskan oleh 500 syarikat permulaan.

MDV, PKS, robotik, Zarinah Anwar

Artikel Sebelum

Artikel Lain