suria

Destini Dilantik Rakan Kongsi Industri Utama Thales Asia

KUALA LUMPUR: Destini Bhd mengumumkan bahawa kumpulan telah dilantik sebagai rakan kongsi industri utama (KIP) oleh Thales Asia Holding Pte Ltd (Thales Asia).

Ketua Pegawai Eksekutif Destini Prima Sdn Bhd, Tunku Johan Tunku Mansor, yang membuat pengumuman bagi kumpulan itu di sini, Khamis berkata, status KIP itu sah untuk tempoh tiga tahun dan Destini akan beroperasi sebagai KIP Thales Asia dalam perniagaan sektor pertahanan dan perdagangan.

"Thales Asia dan Destini akan melihat pelbagai peluang kerjasama pada masa depan yang akan dirasmikan melalui perjanjian mengikut projek," katanya pada taklimat media di sini.

Tunku Johan berkata Destini Prima, anak syarikat milik penuh Destini Bhd, merupakan antara syarikat yang ditugaskan untuk menyokong Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melalui program pelantikan kontrak TUDM.

Beliau berkata, kerjasama dengan Thales telah mula membuahkan hasil dan  menyebabkan kumpulan itu memperoleh kontrak RM46 juta, yang ditandatangani awal tahun lepas, untuk membekalkan pelancar roket FZ Thales kepada TUDM.

Kontrak itu untuk tempoh tiga tahun, dengan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Januari 2015, katanya, sambil menambah perkongsian itu juga bermakna pelbagai keupayaan, sumber dan lokasi Destini dengan Thales.

"Keupayaan kami yang tersenarai dengan Thales termasuk dalam penerbangan, pertahanan, minyak dan gas, penyelenggaraan dan pembuatan bot penyelamat, pembangunan produk dan integrasi.

"Thales kini boleh menawarkan keupayaan kami sebagai sebahagian daripada pakej untuk pelanggan mereka di seluruh dunia," katanya.

Pada majlis pelantikan itu, Pengarah Negara Thales Asia Nicolas de Fougeroux berkata dasar perkongsian itu bertujuan membantu Thales Asia mengenal pasti rakan kongsi tempatan yang layak dalam sebuah negara yang mempunyai keupayaan perindustrian dengan syarikat yang Thales ingin menjalin hubungan kerja.

"Kami akan bekerjasama di pasaran dan produk baharu, dan saya yakin Destini boleh melakukannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan kumpulan Destini Bhd, Datuk Rozabil Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata: "Menerusi perkongsian baharu kami dengan Thales Asia, kami percaya akan dapat memantapkan lagi kedudukan kami dalam industri yang berbeza yang telah diceburi dan melengkapkan kami untuk bersaing dengan lebih baik bagi peluang kontrak baharu.

Artikel Berikut

Artikel Lain