suria

AEC Bukan Hanya Mengenai Liberalisasi

BANGKOK: Komuniti Ekonomi Asean (AEC) bukan hanya mengenai liberalisasi kerana ia juga merangkumi pemudahan perdagangan dan pelaburan.

Ini termasuk menambah baik proses serta prosedur yang bermanfaat kepada perniagaan kecil dan besar di samping promosi melalui rantaian bekalan serantau.

Inisiatif serantau dan nasional juga perlu bekerjasama bagi memastikan keberkesanan AEC, demikian kesimpulan yang dibuat Simposium Komuniti Ekonomi Asean Kedua di Yangon, Myanmar minggu lepas.

Simposium itu dianjur secara bersama oleh Kementerian Perancangan Nasional dan Pembangunan Ekonomi Myanmar dan Sekretariat Asean dengan sokongan Program Kerjasama Pembangunan Asean-Australia (AADCP II).

Ia dihadiri kira-kira 100 syarikat Myanmar serta wakil Kumpulan Kerja Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) Asean serta pegawai kerajaan dari Myanmar serta Australia.

Peserta telah menimbulkan keperluan untuk institusi dan kesinambungan fizikal yang berkesan, terutama proses mesra perniagaan seperti pelepasan kastam yang lebih cepat, kata Sekretariat Asean yang berpangkalan di Jakarta itu.

Penekanan berlebihan ke atas barangan siap dan peluang dalam produk perantaraan dan perkhidmatan yang membawa kepada integrasi rantaian nilai turut ditonjolkan, tambahnya.

Ia juga menyatakan bahawa pembinaan kapasiti untuk syarikat lebih kecil serta pembangunan dasar PKS yang kondusif melalui ketelusan, kebolehramalan dan konsistensi untuk perniagaan, adalah kunci ke arah integrasi kepada rantaian bekalan.

Beberapa kebimbangan turut ditimbulkan mengenai keperluan meningkatkan pembangunan ekonomi yang saksama berikutan negara anggota Asean berada pada tahap pembangunan berbeza dan negara kurang maju mungkin ketinggalan selepas integrasi.

Bagaimanapun, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam dikatakan mendapat faedah paling besar daripada integrasi Asean dengan tahap pertumbuhan yang lebih tinggi dan penyesuaian kepada peraturan dan proses adalah paling cepat di negara terbabit kerana hanya sedikit pelarasan diperlukan.

Simposium itu juga menonjolkan yang perniagaan secara umumnya tidak menerima maklumat secukupnya mengenai AEC dan terdapat keperluan untuk penyebaran makluamt yang lebih baik, terutama kepada PKS.

Sekretariat itu berkata, kajian baru-baru ini oleh Boston Consulting Group mendapati sehingga 120 juta pengguna akan menyertai kelas pertengahan mewah menjelang 2020, dipacu terutama oleh pasaran yang berkembang pesat di Indonesia, Myanmar, Filipina dan Thailand.

Menjelang 2020, Asean dijangka muncul sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia

AEC

Artikel Lain