suria

Malaysia, Indonesia Bakal Berganding Jayakan Impian Pengeluaran Kereta Asean

Najib (kiri) mengunjungi Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi selepas majlis mengangkat sumpah pelantikannya sebagai presiden Indonesia yang ke-7 di Istana Merdeka di sini, Isnin.
JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bakal bekerjasama dalam bidang automatif bagi merealisasikan projek pengeluaran dan pembuatan "Kereta Asean" pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.


Beliau berkata, impian melaksanakan projek itu akan tercapai apabila Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut berminat dengan idea Malaysia itu yang bakal menyaksikan pembabitan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton.

"Kemungkinan kita akan mengkaji usaha projek kereta Asean antara Malaysia dan Indonesia, dan (cadangan) ini telah disambut baik oleh Presiden Jokowi yang mahu idea itu dikaji lebih lanjut".

"Ini bermakna Proton bersama dengan Indonesia melancarkan projek Kereta Asean sebagai projek yang berdaya melalui kajian lebih mendalam," kata beliau kepada media Malaysia di akhir lawatannya ke kota pentadbiran Indonesia ini.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri juga berharap Indonesia di bawah pentadbiran baharu akan terus mengamalkan ekonomi terbuka menerusi dasar ekonomi sedia ada bagi memastikan hubungan perdagangan dua hala yang sedia terjalin akan terus berkembang.

"Saya juga berharap apa-apa penyertaan syarikat-syarkat Malaysia yang sedia ada di Indonesia harus dikekalkan pada tahap sedia ada.

"Dan sekiranya ada apa-apa undang-undang baru (yang hendak diperkenalkan oleh Indonesia), andainya ada, ia tidak akan melibatkan pelaburan yang sedia ada," katanya.

Perdana Menteri turut berharap Malaysia dan Indonesia dapat mengintegrasikan bukan sahaja hubungan sesama rakyat dan politik malahan hubungan ekonomi agar kedua-dua negara dapat memaksimumkan keuntungan daripada kerjasama itu.

Najib berkata, Malaysia berazam untuk menjayakan hubungan itu terutama apabila Malaysia bakal memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada tahun depan yang antara tumpuannya adalah bagi menyaksikan Asean memiliki pasaran perdagangan yang terbuka dan liberal dalam kalangan negara-negara anggota bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke rantau ini.

Jokowi memulakan tugas hari pertamanya pada Isnin sebagai presiden ketujuh republik itu dalam satu istiadat di hadapan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi negara itu, bagi memimpin negera berpenduduk 250 juta orang.

Joko, bekas Gabenor Jakarta mengambil alih kepimpimpinan daripada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menjadi Presiden sejak 2004.

Yang turut mengangkat sumpah pelantikan jawatan di hadapan lebih 1,000 anggota MPR di sini ialah Jusuf Kalla sebagai Naib Presiden.

Terdahulu, Najib yang berada di sini atas jemputan peribadi daripada Jokowi, 53, bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu, dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan pada upacara yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri juga diberi keistimewaan oleh republik itu sebagai kalangan ketua kerajaan asing pertama tiba di Istana Merdeka, kediaman rasmi Presiden bagi membuat kunjungan hormat dan merakamkan ucapan tahniah bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia kepada Jokowi yang baharu sahaja beberapa jam mengangkat sumpah sebagai Presiden.

kereta Asean, Joko Widodo, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain