suria

PIDC Labur RM55 Juta Untuk Kampus Baharu

BUTTERWORTH: Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang (PIDC) memperuntukkan RM55 juta untuk mendirikan kolej baharu dan kompleks hospital pergigian di Jalan Bagan Luar di sini.


Kolej berkenaan dimiliki Vinayaka Missions University di Salem, Tamilnadu, India.

Pro-Canselor universiti itu, Datuk Dr S Sharavanan berkata, projek itu dijadual bermula pada akhir tahun ini dan dijangka siap pada akhir 2018.

Kawasan kolej berkeluasan lebih 1.6 hektar itu dengan bangunan untuk menempatkan kampus baharu dan moden, hospital pergigian 200 kerusi, sebuah pusat sumber, auditorium 500 tempat duduk dan kemudahan rekreasi.

"Dengan kampus baharu ini, PIDC pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan yang lebih dinamik sebagai institusi pendidikan pergigian utama di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan kolej baharu itu oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini, Isnin.

PIDC kini terletak di NB Towers di sini. Sejak penubuhannya pada 2006, ia telah berkembang menjadi sebuah kolej pergigian terkemuka, menghasilkan 185 doktor gigi setakat ini, termasuk 59 yang tamat pengajian pada April tahun ini.

"PIDC kini pada kedudukan yang baik untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan pergigian, menyumbang kepada wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah pusat pendidikan antarabangsa," kata Dr S Sharavanan.

Beliau berkata, PIDC berhasrat untuk memperkenalkan pusat pendidikan di negeri lain selain Pulau Pinang dan Lembah Klang.

"Kami melihat Malaysia sebagai lokasi strategik untuk melabur, terutama dengan usaha kerajaan ke arah mewujudkan satu hab pendidikan di rantau ini.

"Kami telah memperuntukkan RM100 juta yang akan dibelanjakan untuk menubuhkan pusat pendidikan pada 2015 di Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak," katanya. 


Artikel Lain