suria

Inari Amertron Kumpul RM133.2 Juta Biayai Peluasan Kumpulan

KUALA LUMPUR: Inari Amertron Bhd akan mengumpul hingga RM133.2 juta melalui terbitan hak boleh tolak berjumlah hingga 88.8 juta saham baharu untuk membiayai rancangan peluasan kumpulan dan menambah modal kerjanya.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, syarikat itu berkata terbitan hak itu akan dilaksanakan berdasarkan satu saham bagi setiap lapan saham sedia ada yang dipegang, pada harga langganan indikatif RM1.50 bagi setiap saham baharu.

"Pelanggan-pelanggan juga layak bagi satu waran boleh cerai percuma berharga indikatif RM2 setiap waran," katanya.

Naib Presiden Eksekutif Inari Amertron, Dr Tan Seng Chuan, berkata kini masanya sesuai untuk memperluaskan operasi perkilangan syarikat itu untuk menampung permintaan pengeluaran yang pesat meningkat daripada sektor telekomunikasi tanpa wayar.

"Terbitan hak itu memberikan cara berkesan kos kepada syarikat ini untuk menampung keperluan perbelanjaan modal kami, dan pada masa yang sama memperkukuh aliran tunai kami," katanya.

Daripada anggaran pendapatan sebanyak RM133.2 juta itu, RM40 juta akan diperuntukkan bagi pembesaran kapasiti pengeluaran, termasuk pembelian tanah dan kilang, serta pembesaran kilang-kilang sedia ada, katanya.

Beliau berkata kira-kira RM40 juta akan digunakan bagi pembelian kelengkapan dan mesin baharu manakala RM30.5 juta akan digunakan bagi modal kerja.

Baki pendapatan sebanyak RM22.7 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman bank dan perbelanjaan bagi terbitan hak dan waran percuma itu, jelas beliau. 


Inari Amertron

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain