suria

Jumlah Dagangan Januari-Mei Naik 10.2 Peratus Kepada RM597.22 Bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama 2014 meningkat 10.2 peratus kepada RM597.22 bilion, berbanding tempoh yang sama setahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan pada Jumaat.


Ia berkata, eksport bagi tempoh itu juga naik sebanyak 13.5 peratus kepada RM319 bilion, manakala import berkembang 6.7 peratus kepada RM278.21 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM40.79 bilion dicatatkan dalam tempoh tersebut.

Jabatan itu berkata, peningkatan ketara perdagangan dicatat dengan semua pasaran utama dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Pertambahan perdagangan dengan negara-negara Asean, Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat menyokong pertumbuhan dagangan itu.

"Eksport barangan pembuatan bagi tempoh berkenaan meningkat sebanyak 14.3 peratus kepada RM242.86 bilion, merangkumi 76.1 peratus daripada jumlah eksport," katanya.

Peningkatan eksport barangan pembuatan disumbangkan terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik sebanyak 14.4 peratus, khasnya litar bersepadu elektronik.

Eksport Malaysia ke negara Asean kekal kukuh, berkembang sebanyak 14.7 peratus kepada RM17.81 bilion merangkumi 27.4 peratus daripada jumlah eksport negara pada Mei tahun ini.

Penyumbang utama pertambahan itu adalah keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik; minyak mentah, minyak sawit, makanan diproses, peralatan optik dan saintifik, produk plastik, peralatan mesin untuk industri khusus dan bahagian penting bagi litar bersepadu elektronik.

Jabatan itu berkata, eksport pada Mei berkembang sebanyak 16.3 peratus tahun ke tahun mencapai RM64.91 bilion dan import meningkat 11.9 peratus kepada M59.19 bilion daripada Mei, 2013, manakala lebihan dagangan meningkat dua kali ganda kepada RM5.72 bilion.

Jumlah import pada Mei 2014 bertambah 11.9 peratus kepada RM59.19 bilion daripada Mei tahun lalu.

"Ia disumbangkan oleh import barang perantara bernilai RM34.57 bilion, barang modal(RM8.39 bilion) dan barang pengguna(RM4.25 bilion).

"Barangan elektrik dan elektronik merupakan produk import utama di samping produk petroleum dan kimia," kata jabatan itu.


Artikel Sebelum

Artikel Lain