suria

Nazir Akan Lepaskan Jawatan CEO Untuk Jadi Pengerusi CIMB

Nazir Razak akan dilantik sebagai pengerusi baru Kumpulan CIMB mulai September ini.

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak akan melepaskan jawatannya untuk mengambil alih kerusi pengerusi kumpulan perbankan itu berkuatkuasa 1 September depan.

Walaupun telah menerajui CIMB selama 15 tahun tetapi pada usia 48 tahun, beliau bakal mencatat sejarah sebagai salah seorang peneraju bank termuda di rantau ini.

Nazir menyertai CIMB pada September 1989 sebagai eksekutif di Jabatan Hal Ehwal Korporat dan pada 1999 menjadi ketua pegawai eksekutifnya sehinggalah sekarang.

Beliau kini akan mengantikan Tan Sri Md Nor Yusof yang akan bersara sebagai pengerusi kumpulan untuk menyertai Panel Penasihat Antarabangsa CIMB.

Md Nor yang disifatkan oleh Nazir sendiri sebagai peneraju kepada pemodenan Kumpulan CIMB sebelum ini adalah ketua pegawai eksekutif Bank of Commerce dari 1986 hingga 2000 dan selepas itu sebagai pengerusi Kumpulan CIMB sejak Julai 2006.

Bank of Commerce adalah merupakan salah satu daripada bank utama yang bergabung dan membentuk Kumpulan CIMB hari ini.

CIMB dalam satu kenyataan menjelaskan yang CEO baru akan diumumkan sebaik sahaja urusan memperolehi kelulusan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Antara nama yang disebut-sebut bakal mengantikan tempat Nazir ialah Tengku Datuk Zafrul Tengku Aziz yang kini merupakan CEO CIMB Investment Bank.

Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada langkah pembaharuan, satu jawatankuasa eksekutif yang terdiri daripada anggota-anggota lembaga pengarah akan dibentuk.

Selaku pengerusi kumpulan, Nazir juga dijangka akan mempengerusikan jawatankuasa eksekutif ini yang akan memberi fokus kepada hal ehwal strategik utama.

Nazir sendiri berpendapat selepas menerajui kumpulan perbankan itu selama 15 tahun, kini tiba masanya untuk muka baru mengambil alih dan menyuntik idea-idea baru dalam urus tadbir bank berkenaan.

Nazir juga turut memberi penghormatan kepada Md Nor yang dianggapnya sebagai seorang mentor.

"Banyak yang telah saya pelajari daripada beliau selama menerajui bank ini dan CIMB sangat bertuah kerana masih menerima bimbingannya atas kapasiti sebagai anggota panel penasihat antarabangsa," kata Nazir.

Nazir juga memberi jaminan kepada kakitangan bank berkenaan yang beliau tidak berhasrat untuk meninggalkan CIMB sebaliknya akan terus memberi kerjasama kepada CEO yang baru nanti. 


Artikel Lain