suria

Tekun Nasional Sertai Badan Kewangan IDB

JEDDAH:Tekun Nasional diterima sebagai anggota Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Nasional Negara-Negara Anggota IDB (ADFIMI).


Pengerusi ADFIMI, Mehmet Emin Ozcan, mengumumkan penerimaan Tekun dan lima lagi anggota baharu Tadamon Islamic Bank, Jordan Islamic Bank, Dana Bantuan Kewangan Pertanian JSC Kazakhstan, Al Shamal Islamic Bank di Sudan, dan Bank Pembangunan Bangladesh pada Perhimpunan Agung ke-30 ADFIMI di sini, Selasa.

Perhimpunan yang diadakan sebelum Mesyuarat Tahunan ke-39 Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) itu, mengambil keputusan untuk mengurangkan yuran keanggotaan bagi negara-negara anggota yang paling kurang membangun dan membincangkan acara-acara yang akan diadakan tahun ini, termasuk di Kuala Lumpur, yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tekun, sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, menyediakan kemudahan pinjaman kepada usahawan Bumiputera untuk memulakan atau membesarkan perniagaan.

Selain itu, Bank Pembangunan Islam (IDB) telah mengumumkan untuk memulakan platform perangkaian untuk menghubungkan IDB dan negara anggotanya di samping institusi yang terbabit dalam sektor inovasi.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Pengurusan Pengetahuan dan Program Khas Inovasi, Dr Osman Mahgoub El Feil, di satu forum bertajuk "Memupuk Ekosistem Inovasi Dinamik Di Negara Sedang Membangun" di sini semalam.

Forum itu memberi tumpuan kepada menggalak kreativiti dan membina ekosistem inovasi yang dinamik di semua negara dan masyarakat.

"Ia boleh memupuk pembangunan idea inovatif jangka panjang, produk dan penyelesaiaan bagi menambah nilai kepada ekonomi," katanya.

Diadakan sempena Mesyuarat Tahunan Kumpulan IDB, ia menekankan pembiayaan untuk inovasi serta peranan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sektor swasta, masyarakat umum dan komuniti pembangunan antarabangsa.

Tekun Nasional, IDB, ADFIMI

Artikel Lain