suria

Malaysia Sasar Kenaikan 10 Peratus Nilai Dagangan Dengan Kazakhstan

Ibu negara Kazakhstan, Astana menjadi tumpuan pelabur seluruh dunia.

KUALA LUMPUR: Malaysia mensasarkan peningkatan jumlah dagangannya dengan Kazakhstan sebanyak 10 peratus tahun ini, berbanding kira-kira RM189 juta (AS$57.84 juta) pada 2013 melalui perkongsian strategik.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memaklumkan jumlah eksport Malaysia ke Republik Asia Tengah tahun lalu berjumlah RM180.4 juta (AS$55.12 juta) dan jumlah import ialah RM8.8 juta (AS$2.72 juta), dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2013 berkembang 6.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud memberitahu media pada forum perniagaan di sini Jumaat, republik itu mencari kepakaran syarikat tempatan dalam pertanian, pemprosesan makanan, farmaseutikal, logistik dan pengangkutan, pembinaan dan pelancongan.

Acara itu bertujuan menawarkan peluang pelaburan di kawasan pertanian dan industri utama di Kazakhstan kepada pegawai kerajaan, peserta inovasi dan pelancongan serta pakar pelaburan.

Awal tahun ini, Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev memperkenalkan program negara bagi mempercepatkan pembangunan perindustrian dan inovasi bagi 2015-2019.

Pelan selama lima tahun itu menyediakan pilihan ekonomi yang menarik kepada pelabur asing untuk membangunkan kerjasama ekonomi yang stabil, pelbagai dan saling menguntungkan antara Kazakhstan dan rakan niaga asingnya.

Dzulkifli turut menggesa perusahaan kecil dan sederhana yang bersedia untuk mengeksport, meneroka Kazakhstan.

"Kami melihat Kazakhstan sebagai platform bagi syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke negara tersebut serta negara-negara Komanwel Negara Merdeka seperti Rusia," katanya.

"Kita mengeksport lebih banyak berbanding kita import dan ia adalah baik, bagaimanapun, kita perlu seimbang antara import dan eksport bagi hubungan jangka panjang antara kedua-dua negara," katanya.


Artikel Lain