suria

TNGSB Metrai Perjanjian Dengan KTK

SEREMBAN: Touch 'n Go Sdn Bhd (TNGSB) pada Khamis memeterai perjanjian persefahaman dengan Kolej Tunku Kurshiah (KTK) dalam usaha syarikat itu untuk melebarkan lagi perkhidmatan kad pintarnya di institusi pendidikan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Karim Md Lassim Karim berkata melalui perjanjian persefahaman itu, KTK dengan kerjasama TNGSB akan mewujudkan komuniti tanpa tunai di mana hanya kad Touch 'n Go (TNG) boleh digunakan sebagai mod pembayaran bagi urus niaga di koperasi sekolah dan kantin.

"Selain itu, aplikasi kad TNG akan diadaptasi sebagai kad pengenalan pelajar yang mempunyai kegunaan seperti pengesahan kehadiran dan kad akses perpustakaan.

"Ini bermakna KTK bakal menjadi sebuah lagi sekolah yang memperkenalkan sistem tanpa tunai meliputi keseluruhan kawasan sekolah tersebut. TNGSB pula sebagai peneraju utama sistem pembayaran elektronik dipilih sebagai penyedia perkhidmatan tersebut di KTK," katanya.

Pada majlis permeterian itu TNGSB diwakili oleh Abdul Karim manakala KTK oleh pengetuanya Che Kamaliah Endud dan disaksikan oleh Yang Dipertua Persatuan Murid-Murid Tua KTK, Tan Sri Rafiah Salim.

Majlis tersebut diadakan sempena Hari Terbuka Persatuan Murid-Murid Tua KTK.Abdul Karim berkata TNGSB sememangnya berhasrat untuk memperluaskan aplikasi penggunaan kad pintar ini dan mengubah persepsi ramai bahawa ia hanya kad untuk pembayaran tol di lebuh raya.

Katanya perkhidmatan pembayaran elektronik TNG merupakan e-dompet pelbagai aplikasi yang menyediakan kemudahan pembayaran mikro kepada semua golongan dan kini diterima pakai secara meluas di sektor pengangkutan awam, kawasan parkir serta di sektor runcit.

Ketika ini terdapat lebih 6,500 lokasi kemudahan tambah nilai kad TNG di seluruh negara.

"Kerjasama dengan institusi pendidikan seperti KTK ini merupakan salah satu strategi utama TNGSB dalam memperkenalkan kepelbagaian kad tersebut, khususnya dalam pembayaran mikro di sektor runcit. Pada masa akan datang, kerjasama sedemikian akan dipergiatkan lagi di institusi pendidikan yang lain, termasuk institut pengajian tinggi di negara ini," katanya.

Sementara itu, Che Kamaliah pula berkata sebagai sekolah berprestasi tinggi, inisiatif mewujudkan komuniti tanpa tunai di kolej ini merupakan satu lagi langkah penambahbaikan dan pemantapan yang akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada para pelajarnya.

Malah, katanya kemudahan seperti e-penyata yang disediakan oleh TNGSB turut memberi kemudahan kepada ibu bapa untuk membuat permerhatian ke atas perbelanjaan anak mereka.


TNGSB, KTK

Artikel Lain