suria

Kerajaan Guna Wasia Untuk Kerajaan Selangor Ambil Alih Konsesi Air

PETALING JAYA: Dalam satu langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia), termasuk Seksyen 114, yang membuka jalan bagi Kerajaan Selangor untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air di negeri ini.
 
Ini merupakan kali pertama bahawa Wasia digunakan sejak Akta itu diluluskan pada 1 Jun 2006. Di bawah Wasia, terdapat peruntukan bagi hak-hak di mana menteri boleh, sekiranya difikirkan perlu demi kepentingan negara dan dengan kelulusan terlebih dahulu daripada Kerajaan Persekutuan, bagi mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk mengambil alih kawalan operasi pemegang lesen, dan menjalankan atau melantik pihak lain untuk menjalankan operasi pemegang lesen itu.
 
Kerajaan Persekutuan, menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, akan meneruskan "hak-hak dan kuasa-kuasa di bawah Wasia, dan juga apa-apa tindakan lain berkaitan, undang-undang atau peraturan-peraturan" untuk membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan cadangan penyusunan semula dan penggabungan industri bekalan air Selangor.
 
"Ini termasuk menggunakan Seksyen 114 Wasia untuk menangani isu-isu kepentingan negara bagi memastikan keselamatan, kemampanan dan daya maju industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," kata Kerajaan Persekutuan dan Selangor dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.
 
Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat bersama dalam satu mesyuarat antara Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam mesyuarat itu, Ongkili sekali lagi menegaskan tentang komitmennya untuk memudahkan kerajaan negeri mengambil alih industri air Selangor daripada empat syarikat konsesi air seperti yang dipersetuji dalam memorandum persefahaman (MoU).

Dalam satu temuramah bersama StarBiz, Khalid berkata: "Kami mengambil masa yang agak lama, untuk mendapatkan klausa untuk menggunakan Wasia dengan memasukkanya di dalam MoU itu. Paling penting, ia mempunyai komitmen Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, kebenaran pemegang konsesi untuk beroperasi bagi dilakukan setiap bulan.

Beliau menambah bahawa MoU itu juga menyatakan bahawa ia tidak hanya terhad kepada Wasia tetapi mana-mana undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau menegaskan bahawa penyatuan air terpaksa dilakukan demi kepentingan rakyat dan berharap ia akan menetapkan penanda aras bagi 'nasionalisasi' utiliti dan aset strategik yang lain.

Pada 26 Februari lalu, MoU ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Selangor untuk mengambil alih Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd dengan nilai RM9.65 bilion.

Kerajaan negeri pula akan mengeluarkan perintah pembangunan untuk pembinaan loji rawatan air Langat 2 dan sistem pengedarannya, dan memastikan kesemua kelulusan dan kebenaran untuk projek itu dilakukan dalam tempoh 30 hari.

Pada Isnin, tiga syarikat konsesi air, Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran itu manakala ABASS menerima tawaran berkenaan.

Puncak Niaga, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, mengulangi syarat-syaratnya termasuk pulangan terkompaun ekuiti sebanyak 15% setahun diambil sebagai pampasan kepada PNSB untuk kerugian pendapatan pada masa akan datang.

Puncak Niaga juga menunggu bayaran yang belum dijelaskan Syabas kepada PNSB untuk dijelaskan kepada syarikat induk kerana jumlah itu bagi perkhidmatan itu telah pun diberikan.

Gamuda yang mempunyai 40% kepentingan dalam Splash berkata, tawaran itu adalah lebih rendah daripada nilai aset bersih (NAB) dan “tidak munasabah untuk diterima oleh syarikat itu”.

“Tawaran bersih itu adalah RM250.6 juta untuk Splash berbanding NAB Splash sehingga RM2.54 bilion setakat 31 Disember 2013 yang akan memberikan kerugian penjualan besar RM920 juta kepada syarikat.

“Tawaran RM250.6 juta itu adalah di bawah 10% daripada NAB Splash. Oleh itu, tawaran berkenaan tidak munasabah untuk diterima oleh syarikat itu," kata Gamuda.
syabas, wasia

Artikel Berikut

i-Bhd Sasar RM500 GDV

Artikel Lain