suria

Lufthansa Yakin Dengan Pasaran Malaysia

BERLIN: Penerbangan Jerman, Lufthansa, yang melancarkan perkhidmatan penerbangan tanpa henti dari Frankfurt ke Kuala Lumpur pada 30 Mac, yakin terhadap Malaysia sebagai pasaran masa depannya.

Thomas Kropp, Naib Presiden Kanan (Ketua Hal Ehwal Antarabangsa dan Kerajaan) Kumpulan Lufthansa, dalam temu bual dengan Bernama pada Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) di Berlin berkata, Lufthansa telah 'mengkaji pertumbuhan pasaran Malaysia yang dinamik sebelum mengambil keputusan untuk memulakan perkhidmatan tanpa henti ke Kuala Lumpur, dan dari situ, ke Jakarta'.

"Malaysia ialah ekonomi yang dinamik, berkembang pesat yang menawarkan faktor menarik untuk kami. Kami akan bermula dengan empat penerbangan seminggu ke Kuala Lumpur dan ditambah kepada lima penerbangan seminggu mulai Jun," kata Kropp.

Lufthansa sehingga kini berkhidmat untuk pasaran Malaysia melalui Bangkok, dan ekoran perniagaan dan pelancongan trafik yang semakin meningkat antara Malaysia dan Jerman, mendorong syarikat pengangkut itu untuk melihat dengan lebih dekat potensi perniagaan yang wujud di Malaysia.

Syarikat penerbangan itu mengumumkan rancangan untuk melancarkan perkhidmatan Kuala Lumpur tiga bulan lepas.

"Perdagangan dan trafik pelancongan berkembang, dan pada pandangan kami ia akan terus berkembang.

"Kuala Lumpur ialah pusat perdagangan yang baik berdasarkan lokasinya yang strategik, ia menawarkan sambungan yang baik ke bandar-bandar lain seperti Jakarta, Manila dan Ho Chin Minh," kata Kropp, yang menemui Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz di Pavilion Malaysia di ITB Berlin untuk bertukar-tukar pandangan.

Seperti syarikat penerbangan Eropah yang lain, Lufthansa juga memantau pergerakan beberapa syarikat penerbangan Teluk, yang menurut beberapa penganalisis Jerman, pesat berkembang pesat dan mampu mengatasi syarikat penerbangan lain berdasarkan ketersediaan bahan api yang lebih murah dan kelebihan lain.

Syarikat penerbangan Gulf juga telah menembusi pasaran Malaysia dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar di negara itu.

"Syarikat penerbangan Teluk tidak mempunyai pasaran mereka sendiri dan menambah kapasiti dengan menambah jumlah penerbangan.

"Pasaran penerbangan global berkembang 4 hingga 5 peratus manakala syarikat penerbangan terbabit berkembang pada kadar yang lebih tinggi. Kami percaya terhadap perdagangan bebas, malah perdagangan yang adil," kata Kropp, yang menggesa supaya 'diberikan peluang yang adil.'

Beliau berkata, Malaysia dan Jerman merupakan ekonomi bebas dan menjana sinergi yang besar, dan berkata ahli perniagaan Jerman dan pelabur mahukan penerbangan terus ke Malaysia.

Untuk industri Jerman, Asia merupakan benua yang paling pesat berkembang di dunia, dengan Asia Tenggara memain peranan penting dalam trajektori pertumbuhannya.

Lufthansa, yang merintis dan mengasaskan Star Alliance bersama syarikat  penerbangan utama Asia yang lain seperti Singapore Airlines, Thai Air, Air Nippon dan Asiana - Air India yang juga mahu menyertainya - juga 'sangat yakin' mengenai kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015.

AEC akan membuka 'perspektif baharu dan menawarkan peluang yang lebih besar,' kata Kropp.


lufthansa

Artikel Lain