suria

Masak 3 jenis lauk nak rai rakan-rakan, tuan rumah kecewa tiada siapa muncul! Tengah malam baru mesej tak boleh datang

Maklumkan lebih awal jika tidak dapat hadir apabila dijemput ke sesuatu majlis. -Gambar hiasan AI

KETERUJAAN seorang lelaki mengundang beberapa kenalan rapat ke majlis rumah terbukanya bertukar hampa apabila mereka semua tidak muncul walaupun sudah berjanji akan datang.

Salah seorang tetamu yang menjadi saksi kepada kejadian itu mendakwa tuan rumah sudah membuat persiapan rapi termasuk menyediakan tiga jenis hidangan dengan menjangkakan kehadiran enam hingga tujuh tetamu.

Katanya, dia yang datang sekitar pukul 8 malam terkejut melihat makanan yang terhidang belum disentuh dan dia adalah tetamu pertama hadir ke acara tersebut.

"Saya sudah maklum lebih awal saya sedang berpuasa sunat enam, jadi saya datang lepas Maghrib.

Rumah terbuka merupakan acara dinanti-nantikan setiap kali musim perayaan. -Gambar hiasan

"Kalau makanan habis pun tak mengapa, asalkan dapat penuhi jemputan.

"Saya sampai sekitar pukul 8 malam tapi masih banyak makanan belum disentuh. Saya tak tanya tapi isteri rakan saya itu beritahu saya seorang je hadir malam itu," luahnya di Threads.

Lebih menyedihkan, kebanyakan tetamu yang sudah menyatakan persetujuan untuk datang langsung tidak memaklumkan ketidakhadiran mereka lebih awal.

Katanya, dia sendiri dapat merasai kekecewaan rakannya apabila terpancar kesedihan di wajah tuan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sedih mentua tak layan mak ayah masa open house, besan lain ‘title’ profesor diajak bergambar - “Panggil buat tak dengar”

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas kahwin ‘auto’ tak berkawan... Suri rumah sayu tiada undangan ‘open house’, kalau anjur tak siapa sudi hadir

"Saya cuma hendak berpesan, kalau sudah berjanji, datanglah. Kalau ada hal, maklumkan. Jangan biarkan tuan rumah tertunggu-tunggu atau rasa kecewa.

"Saya tak tahu apa kawan saya itu rasa tapi nampak muka dia kecewa sebab ini kira tahun pertama dia nak perkenalkan kawan-kawan dekat isterinya.

"Sebagai kawan rapat, memang saya kecewa sebab tak ada orang cakap tak boleh datang sedangkan dalam grup (WhatsApp) semua kata nak datang," jelasnya.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang bersimpati dengan nasib rakan pengadu disebabkan sikap rakan-rakan yang tidak bertanggungjawab.

  • Tuan rumah kecewa apabila tetamu tidak muncul seperti dijanjikan.
  • Isteri sedih kerana penat menyediakan hidangan tidak dihargai.
  • Hanya seorang tetamu hadir walaupun ramai yang kata mahu datang.
  • Lebih mengecewakan, ada yang maklum tak hadir lewat malam.
  • Makanan akhirnya dibungkus dan diagihkan agar tidak dibazirkan.

"Itu sebab saya tak buat rumah terbuka. Ada yang beria minta tapi bila dah buat, mereka yang akhirnya tak muncul!

"Mak saya pernah kena. Saya tak akan maafkan mereka. Mak siap tempah katering tapi semua tak datang," antara reaksi warga maya. 

Membalas beberapa komen netizen, pengadu memaklumkan ada dalam kalangan jemputan yang hanya memaklumkan ketidakhadiran sekitar pukul 11 malam iaitu selepas majlis berakhir.

Difahamkan, makanan yang disediakan tidak dibazirkan apabila sebahagiannya dibungkus dan diagihkan kepada jiran dan pengawal keselamatan.

Artikel Lain