suria

“Dia jaga saya masa sakit, tapi dia pergi dulu...” - Lelaki derita kanser pilu sambut raya tanpa isteri, tetap bertahan demi 6 anak

Arwah Maya menjaga suaminya, Syahzuddin selama lima tahun sebelum meninggal dunia akibat tumor otak.

HARI Raya Aidilfitri kali ini tidak lagi serupa buat penghidap kanser pangkal hidung tahap tiga, Mohd Syahzuddin Mustafa.

Mana tidaknya, isteri tersayang iaitu Allahyarham Maryamah Masrum yang setia menjaganya sejak jatuh sakit pada 2021 terlebih dahulu pergi menghadap Illahi pada 26 November tahun lalu akibat tumor otak.

Pemergian Maryamah atau mesra dipanggil Maya meninggalkan kesan mendalam buat lelaki berusia 39 tahun ini kerana tidak pernah menyangka isteri tercinta pergi meninggalkannya.

Apatah lagi enam anak mereka yang berusia setahun sehingga 13 tahun masih mendambakan kasih sayang seorang ibu.

"Maya sakit pada Ogos, beberapa bulan selepas itu meninggal dunia. Selama ini dia yang jaga saya yang menghidap kanser sejak 2021.

Kenangan Aidilfitri terakhir arwah Maya bersama Syahzuddin dan enam mereka pada 2025.

Kenangan Aidilfitri terakhir arwah Maya bersama Syahzuddin dan enam anak mereka pada 2025.

"Dia bukan sahaja menjaga saya tetapi sebagai suri rumah dia menguruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih dan roti bagi membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

"Selepas saya sakit dan hilang pekerjaan, saya bantu Maya buat kuih dan roti," katanya ketika dihubungi mStar.

Bercerita mengenai kehidupan selepas pemergian isteri, Syahzuddin mengakui terpaksa membuat kerja sambilan menjaga kedai pada waktu malam.

Jelasnya, ketika keluar bekerja dia terpaksa mengharapkan dua anaknya bagi menjaga tiga adik mereka yang lain di rumah. 

"Anak saya yang sulung berada di asrama. Jadi saya hanya harapkan anak kedua dan ketiga berusia 12 dan 10 untuk menjaga adik-adik.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] 7 gejala dianggap biasa pada waktu malam mungkin petanda kanser, segera buat pemeriksaan doktor

ARTIKEL BERKAITAN: Makan sikit tapi cepat kenyang boleh jadi petanda kanser, ketahui bila anda patut jumpa doktor

"Selain itu saya percaya, Allah menjaga anak-anak ketika saya bekerja," katanya yang tinggal di rumah peninggalan arwah ibunya.

Syahzuddin turut memberitahu terpaksa melepaskan kereta kesayangannya kerana tidak mampu menanggung ansuran bulanan selain berdepan kesukaran membeli makanan untuk keluarga.

"Wang yang dikumpul sebanyak RM23,000 telah digunakan untuk pembedahan arwah isteri tapi saya yakin dan percaya dengan Allah.

"Pernah kami tiada makanan untuk dimakan tapi tiba-tiba ada orang hantar makanan. Ada juga masa bantuan masuk tepat ketika saya benar-benar memerlukan," katanya.

Bercakap mengenai persiapan Syawal tahun ini, Syahzuddin memberitahu sebelum ini dia menyerahkan kepada isteri menentukan tema, warna dan hal berkaitan raya kerana arwah lebih arif.

Enam cahaya mata Syahzuddin menziarahi pusara ibu mereka.

Enam cahaya mata Syahzuddin menziarahi pusara ibu mereka.

Namun tahun ini dia tidak mempunyai semangat hendak melakukan sebarang persiapan kerana masih bersedih dengan kehilangan isteri.

"Tapi untuk anak-anak biarlah mereka sambut dengan gembira lagi pun ibu saudara mereka ada belikan baju raya," katanya.

Menurut Syahzuddin, Aidilfitri juga mengimbas kembali detik pertemuan semula dengan arwah isterinya kira-kira 18 tahun lalu.

Dia dan Maya merupakan rakan sekelas sejak darjah satu hingga tingkatan lima namun tidak pernah mempunyai sebarang hubungan istimewa.

"Nak dijadikan cerita kami bertemu semula di reunion kelas sempena Aidilfitri dan ketika itu kami saling berhubung.

  • Syawal kali ini pilu buat pesakit kanser, Mohd Syahzuddin apabila pertama kali beraya tanpa isteri tercinta.
  • Dia kini memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada enam anak kecil.
  • Kehidupan semakin mencabar apabila hilang kerja dan hanya bergantung pada kerja sambilan.
  • Kisah cinta mereka bermula semula selepas bertemu di reunion Aidilfitri.
  • Ujian hidup mengajar Syahzuddin untuk terus kuat dan berserah kepada Allah demi anak-anak.

"Lebih istimewa kami kerap bertemu dalam bas kalau pulang ke kampung. Ketika itu saya bekerja di Pulau Pinang dan dia pula belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya.

Bertitik tolak pertemuan tersebut, Syahzuddin dan Maya akhirnya disatukan pada 10 November 2012.

"Dia pergi selepas ulang tahun kami yang ke-13 dan dia sempat meraikan hari lahir pertama anak bongsu kami empat hari sebelum meninggal dunia.

"Kami sempat keluar tengok wayang berdua dan saya tak sangka itu kali terakhir kami dating. Malam itu saya hantar dia ke hospital, dan selepas itu dia tak sedarkan diri,” katanya.

Walaupun berdepan kehilangan besar dan tanggungjawab berat, Syahzuddin mengakui pengalaman hidup mengajarnya untuk lebih berserah kepada Allah.

“Dulu saya banyak bergantung pada manusia, saya sakit arwah yang jaga dan siapa sangka arwah yang pergi dulu.

"Selain tu, doktor jangka peluang arwah hidup selepas pembedahan sangat tinggi, tapi dia tak sedarkan diri sebelum bedah.

"Sekarang saya belajar bergantung sepenuhnya kepada Allah. Kita boleh merancang, tapi Allah yang tentukan segalanya,” katanya.

Dia kini hanya berharap dapat terus kuat demi memastikan anak-anaknya membesar dengan bahagia walaupun tanpa kehadiran ibu di sisi.

Artikel Lain