USAHAWAN dan pempengaruh, Sara Anna tampil menjelaskan situasi sebenar selepas tawaran tiket penerbangan percuma ke Bali, Indonesia yang dimuat naik di Instagram miliknya mencetuskan kontroversi dan menimbulkan pelbagai spekulasi.
Antaranya, dia dituduh cuba menyeludup bahan terlarang dengan mengumpan orang ramai supaya menjadi keldai dadah.
Ketika dihubungi mStar, Sara Anna berkata dia kini berada di Bali kerana menguruskan spa miliknya yang turut menjual pakaian.
Hantaran Sara Anna yang tular hingga menimbulkan salah faham.
Tambahnya, disebabkan semua stok pakaian di spa itu habis terjual, dia perlu membawa masuk yang baharu dari Malaysia dengan kadar segera justeru dia membuat tawaran tiket penerbangan percuma ke Bali sambil membawa barang-barangnya.
"Kos penghantaran menggunakan kurier mencecah RM7,000 hingga RM8,000, selain mengambil masa tiga hingga lima hari.
"Namun kos tiket kapal terbang untuk seseorang membawa barang tersebut ke Bali hanya sekitar RM3,000, termasuk cukai kastam," katanya, Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan menangis tengok wang simpanan... pernah susah jual nasi lemak, buat 3 kerja serentak - “Sekeluarga berdoa setiap kali hujan”
ARTIKEL BERKAITAN: Influencer didakwa muak lelaki Melayu akhirnya kahwin jejaka mat salih... Suami asal Netherlands pilih nama Osman
Jelasnya, dia sudah meminta bantuan keluarga, rakan serta staf syarikat, namun semuanya tidak dapat membantu kerana masing-masing mempunyai urusan.
Disebabkan itu, Sara Anna memuat naik tawaran di Instagram pada Jumaat malam dengan harapan ada kenalan atau rakan kepada kenalannya berminat.
"Saya tak mahu orang asing sebab takut barang hilang atau berlaku hal yang tak diingini. Sebab itu saya post supaya kawan-kawan nampak.
"Tapi bila di Threads, jadi sebaliknya apabila ada individu screenshot perkongsian itu. Ia tak salah ia untuk memberi kesedaran tetapi mereka letak nama saya dan tag saya. Bila baca komen, orang tuduh saya penipu. Itu tak adil," katanya.
- Sara Anna jelaskan isu tiket percuma ke Bali selepas dituduh cuba memerangkap orang sebagai keldai dadah.
- Dia berada di Bali uruskan spa dan jual pakaian, namun stok habis dan perlu dibawa dari Malaysia.
- Kos kurier terlalu mahal, jadi tiket kapal terbang lebih murah untuk bawa stok.
- Posting itu untuk kenalan sahaja, tetapi ditularkan bersama namanya hingga timbul tuduhan.
- Dia menegaskan tiada niat jahat dan memadam hantaran bagi elak salah faham.
Sara Anna menegaskan tiada niat jahat dalam tawaran tersebut dan hanya mahu membawa pakaian sendiri serta stok jualan.
Katanya lagi, dia sudah memadam hantaran berkenaan dan memohon maaf kepada individu yang terasa hati, bukan kerana dia bersalah, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan.
“Kalau saya marah, orang kata saya salah. Kalau saya diam pun orang kata saya salah. Jadi saya jelaskan sahaja,” katanya.
Sara Anna turut memaklumkan sebelum isu itu tular, tawaran tiket penerbangan itu telah mendapat respons segera dalam kalangan kenalannya yang sudi menghantar stok pakaian berkenaan.


