"RINDUNYA suara awak panggil saya ibu," demikian luahan balu kepada Muhammad Amir Mohd Alowi, 28, yang maut dalam kemalangan ketika berpatah balik ke tempat kerjanya untuk mengambil susu anak.
Dalam perkongsian penuh meruntun jiwa di Threads, Nur Mas Idayu Buyung, 28, turut mengimbas detik terakhir ketika dia menerima perkhabaran duka mengenai kemalangan maut menimpa suaminya, pada malam Rabu.
"Kebiasaannya suami akan buat panggilan video kalau balik lambat. Tapi tidak pada hari itu. Saya video call tapi tak angkat. Kemudian saya call, orang lain tolong angkatkan.
"Terima kasih orang baik yang teman suami saya. Orang baik ni cakap, masa ambulans datang, suami saya ada lagi.
"Lepas beberapa minit, suami disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," tulisnya sambil memuat naik tangkap layar perbualan terakhir bersama arwah yang berkhidmat sebagai Polis Bantuan di Besraya di aplikasi WhatsApp.
Allahyarham Muhammad Amir terbabit kemalangan selepas berpatah balik ke tempat kerja mengambil susu anaknya.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata lelaki berusia 10 bulan itu, arwah sememangnya seorang suami dan bapa yang penyayang serta bertanggungjawab sehingga ke akhir hayatnya.
Ujarnya, arwah membeli pelbagai barang keperluan buat anak lelaki mereka selain keperluan dapur, seolah-olah membuat persediaan sebelum meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Patah balik ambil susu anak tertinggal di tempat kerja, bapa maut kemalangan tak sempat pulang ke rumah
"Keperluan anak, barang-barang seperti sabun, bahan masakan... semua awak tinggalkan cukup lengkap. Awak tinggalkan saya dan anak dengan baik. Awak suami yang bertanggungjawab.
"Awak dah booked hotel untuk buat kejutan hari jadi di Terengganu hujung bulan ni. Awak meninggal pun pada bulan hari jadi saya.
"Dan awak dah tempah kambing tiga ekor untuk akikah anak kita bulan Januari tahun depan.
"Dengan nama Allah, suami saya seorang yang baik. Selalu doa takut kehilangan suami sebab dia satu dalam sejuta. Syurga buatmu, wahai suamiku sayang," tulisnya lagi.
Wanita yang menggunakan akaun @whymas_ berkongsi detik terakhir sebelum suaminya maut dalam kemalangan.
Ujarnya, panggilan terakhir kepada arwah pada malam kejadian dijawab individu lain.
Dia menyifatkan arwah seorang suami dan bapa penyayang kerana menyediakan segala barang keperluan, seolah-olah membuat persediaan terakhir.
Arwah juga merancang kejutan hari lahir dan akikah anak mereka, namun tidak kesampaian meraikannya.
Wanita itu juga terharu melihat ratusan individu hadir memberi penghormatan terakhir di masjid ketika solat jenazah arwah.
Dalam hantaran berasingan, wanita itu turut memuat naik video suasana di masjid ketika jenazah suaminya disembahyangkan sebelum upacara pengebumian.
Kelihatan ratusan individu terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan penduduk setempat memenuhi ruang solat bagi mengiringi perjalanan terakhir arwah suaminya.
"Apa amalan awak sayangku Muhammad Amir. Sampai orang nak solatkan awak terpaksa solat dekat luar sebab tak muat.
"Satu Malaysia doakan awak dan sedekah al-Fatihah buat awak sayang. Ramai orang-orang iring sayang di rumah baru," tulisnya lagi.

Gambar yang dikongsikan oleh balu Allahyarham ketika upacara pengebumian.
Perkongsian wanita berkenaan dibanjiri ratusan komen netizen yang memberikan kata semangat dan mendoakan agar dia kuat mendepani ujian kehilangan suami tersayang.
Menurut laporan media, kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves, pada malam Rabu lalu, berpunca apabila mangsa terlanggar besi gandar sebuah lori yang mengalami masalah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.


