suria

Suami jual kereta, isteri terkilan saudara mara beli dengan jurujual lain... Ramai mengaku takkan beli daripada orang dikenali

Jurujual kereta perlu berusaha untuk mencari pelanggan demi mendapat komisyen. Gambar hiasan

PERASAAN kecewa semestinya timbul apabila usaha kita tidak dihargai oleh orang lain terutama yang terdekat dengan kita.

Itulah yang dirasai seorang wanita selepas mengetahui saudara maranya membeli kereta baharu, namun bukan melalui suaminya yang bekerja sebagai jurujual kenderaan.

Bagi wanita itu, bukan soal keuntungan atau komisen yang diharapkan, sebaliknya sokongan ahli keluarga dalam membantu suami mencari rezeki halal.

Pelbagai aspek dan perkiraan perlu dibuat sebelum membeli kereta baharu. -Gambar hiasan

"Tidaklah sedih sangat cuma sejujurnya rasa kecewa. Saya dapat tahu saudara mara sendiri beli kereta baharu, tapi bukan daripada darah daging sendiri.

"Tak ada niat nak marah cuma rasa sedikit terkilan sebab mereka (pihak keluarga) pun tahu suami saya jual kereta.

"Jadi kalau ada yang nak beli kereta, (apa-apa jenama sekali pun), tolong la support suami saya," luah wanita itu sambil mempromosikan kerjaya suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji RM3,000 ada hati nak pakai Mercedes-AMG A45S! Jurujual kereta pening, penat kawal emosi layan selera anak muda

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak lihat lelaki belai Axia Rahmah macam Ferrari! Jurujual bagi hadiah penuh but, tak kisah komisyen ‘ciput’

Ruangan komen pada postingnya terus menjadi medan perbincangan apabila ramai netizen tampil berkongsi pandangan berbeza mengenai isu yang dibangkitkan.

Ada yang berpendapat, membeli barangan atau kenderaan daripada saudara-mara boleh menimbulkan rasa tidak selesa kerana perlu mendedahkan maklumat peribadi.

"Saya secara peribadi tak akan beli kereta atau rumah daripada seseorang yang saya kenal sebab kena tunjuk slip gaji, tempat kerja dan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Saya tak nak mereka tahu status kewangan saya.

  • Wanita kecewa saudara beli kereta baharu tapi bukan daripada suaminya.
  • Katanya, bukan soal untung tapi sokongan terhadap keluarga.
  • Netizen jelaskan tak selesa dedah maklumat kewangan peribadi.
  • Ada kata tidak wajib beli daripada ahli keluarga sendiri.
  • Wanita akur pandangan ramai, harap keluarga saling sokong.

"Maaf awak, saya pun tak akan beli dengan saudara mara atau ahli keluarga. Nanti habis kantoi semua termasuk gaji dan hutang kita. Kalau jenis diam, okay. Kalau jenis bergosip dekat belakang, jenuh.

"Tak ada peraturan menyatakan seseorang itu wajib untuk buat pembelian daripada keluarga sendiri semata-mata," komen beberapa netizen.

Membalas beberapa komen yang ditinggalkan warganet, wanita itu dilihat tidak melenting dan menghormati pandangan serta penjelasan diberikan.

Komen warga maya.

"Memang betul, tak ada peraturan pun. Cuma kadang-kadang harap orang pilih untuk sokong keluarga bila mampu sebab ia amat bermakna bagi kami.

"Saya faham perasaan awak sebagai jurujual. Ini bukan sebab jualan setiap bulan tapi fasal kepercayaan dan ikatan saudara. Benda macam ni memang susah nak lupa tapi mungkin ada hikmah juga," jelasnya.

Artikel Lain