suria

Pelajar IPTA berlapar, terdesak rayu sumbangan beli makanan di Facebook... Siap kongsi data kad matrik elak dituduh scammer

Golongan pelajar sering mengalami masalah kewangan. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) mencuri perhatian warga maya apabila secara terang-terangan berkongsi masalah kewangan yang sedang dialaminya.

Menerusi hantaran ringkas yang dibuat, pemuda itu memberitahu berdepan kesukaran membeli makanan bagi menjalani kehidupan di kampus untuk tempoh pengajian yang berbaki dua bulan.

"Minta tolong, saya pelajar universiti tapi tak cukup duit untuk makan.

"Masih ada baki lagi dua bulan untuk saya belajar," luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kad matrik turut dikongsikan pemuda ini bagi mengelakkan dia dituduh scammer.

Maklumat peribadi termasuk kad matrik turut dikongsikan pemuda ini bagi mengelakkan dia dituduh scammer.

Lebih menambah rasa pilu apabila dia cuba untuk keluar daripada masalah yang dialami dengan memohon bantuan daripada pihak berwajib.

Namun malangnya, sehingga kini tiada sebarang bantuan disalurkan kepadanya.

Susulan itu, dia mencuba nasib dengan meminta pertolongan daripada warga maya menerusi laman Facebook Sedekah yang dipercayai dicipta untuk perkongsian seperti itu.

"Saya sudah mohon bantuan tetapi tak dapat lagi sehingga sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar IPT miskin kutip makanan tong sampah, siap kumpul buat jamuan... Perut kebal, tak sakit sebab dah terbiasa

ARTIKEL BERKAITAN: Senangnya hidup! Ada masalah bisnes, pasangan kekasih rayu simpati tolong bayarkan hutang kad kredit

"Harap ada yang dapat membantu. Saya doakan orang yang bantu diberikan rezeki melimpah ruah," tambahnya memohon simpati.

Menurut anak muda ini lagi, dia mempunyai keinginan untuk melakukan kerja sambilan bagi menambah sumber pendapatan seperti pelajar universiti lain.

Namun, ia tidak dapat dilakukan kerana mengalami kekangan masa disebabkan tugasan akademik yang banyak.

"Saya dah buntu nak cari duit dekat mana sebab assingment banyak, tak ada masa untuk buat part time," ujarnya menjelaskan situasi dialami.

Nanti dah habis belajar dan ada duit, kau pulangkan RM100 ni kepada mana-mana masjid atau sedekah pada sesiapa yang perlu.

PEMBERI SUMBANGAN

Luahan ikhlas itu ternyata mengundang simpati netizen.

Tambahan pula dia turut berkongsi perihal diri dan maklumat pengajian yang tercatat pada kad matrik dan akaun bank bagi mengelakkan dirinya dituduh sebagai scammer.

Berdasarkan perkongsian dibuat, dia merupakan seorang pelajar di sebuah universiti awam di Perak yang mengikuti pengajian sejak 2023.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati di samping turut menghulurkan sumbangan kepadanya.

Perbualan anak muda ini bersama penyumbang RM100.

Perbualan anak muda ini bersama penyumbang RM100.

Turut kelihatan seorang pengguna Facebook yang dipercayai sudah menyumbangkan sejumlah RM100 kepada pelajar ini.

Bagaimanapun, individu terbabit meminta pemuda terbabit memadam kod QR daripada platform berkenaan selain berpesan supaya tidak meminta-minta di masa hadapan.

Pada masa sama, dia juga menasihati anak muda ini agar mengikuti pengajian dengan sebaiknya dan memulangkan jumlah yang sama di mana-mana masjid apabila sudah berkemampuan suatu hari nanti.

"Nanti dah habis belajar dan ada duit, kau pulangkan RM100 ni kepada mana-mana masjid atau sedekah pada sesiapa yang perlu.

"Ingat, kau pernah susah, bantu orang lain pula. Jadikan RM100 ni sebagai pembakar semangat kau," tulisnya di ruangan komen.

Permintaan tersebut kemudiannya ditunaikan pelajar terbabit dan dalam hantaran berlainan, dia memaparkan RM154 jumlah sumbangan yang diterima daripada warga maya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain