suria

Sikit-sikit ugut ‘tak halal ilmu’, mudah melenting ajar murid nakal... Gadis lepasan sekolah kesal guru tiada jiwa pendidik

Hubungan baik antara guru dan murid perlu dijaga. -Gambar hiasan

GURU umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Dek kerana itu juga menjadi norma masyarakat untuk meletakkan si pemberi ilmu pada darjat yang tinggi sebagai tanda penghargaan kepada bakti yang ditabur.

Namun tanggungjawab mendidik anak bangsa bukannya mudah untuk dipikul kerana selaku manusia biasa, tenaga pengajar juga tidak terlepas daripada bertindak mengikut perasaan.

Minggu peperiksaan bertujuan menguji kefahaman murid dalam silibus. -Gambar hiasan The Star

Melalui satu hantaran tular di laman X, seorang gadis berkesempatan mengimbau satu insiden di zaman persekolahannya berkaitan ketegangan melibatkan seorang rakan dan guru mereka.

Menurutnya, rentetan daripada salah faham yang berlaku, guru terbabit melontarkan satu ayat yang kurang enak untuk didengari.

"Apabila saya ingat balik, baru saya sedar yang batch sekolah saya dulu boleh tahan 'keras' juga, tak mudah dipijak dan akan memberontak.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 3 menangis diejek miskin, malu dihina rakan... Rupanya bukan kali pertama - “Tak apa cikgu, saya dah biasa kena”

ARTIKEL BERKAITAN: Murid berebut nak salam, peluk cium cikgu... ada yang ‘cekik manja’ sebab terlebih sayang! Guru kongsi rahsia ‘ngam’ dengan pelajar

"Ada sekali tu, seorang guru ni marah dekat kawan saya, lepas tu dia cakap satu ayat yang selalu digunakan dalam kalangan cikgu, saya tak halalkan ilmu saya.

"Kawan saya tu memang marah tapi dia tak melawan balik, dia tunggu musim peperiksaan. Sementara tu dia belajar bersungguh-sungguh.

"Apabila keluar keputusan, dia dapat markah 98 untuk subjek yang guru tu ajar. Sekali gus mematahkan ugutan guru tu yang kononnya ilmu diberikan tak berkat," ujar gadis berkenaan.

Beradab dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Tambah gadis itu lagi, ada cara yang lebih bersesuaian untuk menegur seorang murid berbanding menggunakan sindiran yang menanam rasa serba salah.

"Saya ada je kawan nakal tahap kronik, tapi ustazah yang mengajar dia tak pernah pula hilang sabar sampai tak nak halalkan ilmu.

"Setiap kali dia ponteng kelas, ustazah tu akan cakap, saya doakan lepas ni dia masuk kelas saya dan berjaya. Guru sebagai seorang dewasa sepatutnya lebih matang dalam menangani ragam pelajar.

"Bergelar seorang guru merupakan satu amanah, kalau tak minat mengajar dan mula membenci murid, lebih baik cari pekerjaan lain. Dalam kesempatan ini, saya nak ucapkan terima kasih juga kepada ustazah tu.

Perbincangan warga maya.

"Saya doakan setiap guru yang tak pernah gunakan ayat, saya tak halalkan ilmu, supaya sentiasa dilimpahkan rahmat, dipermudahkan urusan, diberkati hidup dunia dan akhirat," kata gadis itu menutup bicara.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya sependapat dengan perspektif yang diutarakan gadis tersebut.

"Ayat 'ilmu tak halal' ni macam dah jadi 'senjata' untuk guru takut-takutkan anak murid. Kita seperti dimanipulasi, dikongkong dan kena ikut je. Bagai lembu dicucuk hidung.

"Pengalaman saya belajar di luar negara dengan pensyarah mat salih, tak pernah pula mereka cakap tak reda dengan ilmu yang diberi, walaupun mereka tengah tak puas hati dengan pelajar tu.

"Sangat tak profesional apabila seorang guru berbuat sedemikian, benda begini boleh membuka ruang untuk pelajar dieksploitasi," ujar sebahagian warga maya.

Photos taken at SK Bandar Tasik Puteri Rawang  of first day schooling for pra school and PPKI pupils after school reopens during Covid-19 MCO, Monday, Teacher wearing Mascott for atraction student coming to school (1 march 2021) KAMARUL ARIFFIN/The Star

Beradab dalam menuntut ilmu penting bagi mendapatkan keberkatan. -Gambar hiasan

Sebagai pengajaran bersama, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengupas tentang isu ini namun dinyatakan mereka tidak menemui perbincangan khusus dalam kalangan ulama tentang konsep 'tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu'.

Namun badan penasihat hal ehwal agama Islam itu berpendapat adalah tidak membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikan walaupun seorang guru menyebut sedemikian di hadapan anak muridnya.

Bagaimanapun pihaknya menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu, guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal.

Begitu juga kepada anak murid, beradab dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain