suria

Bakal pengantin nak bayar mekap RM50, siap ‘demand’ pakai bulu mata... Guna alasan menikah di pejabat agama

Kak Amyzah (kiri) berkongsi pengalamannya sebagai jurusolek pengantin.

BERHARAP untuk dapat harga solekan murah, tapi bersikap angkuh dan memaksa.

Malah pelbagai alasan diberikan semata-mata untuk elak daripada mengeluarkan belanja besar untuk kepuasan sendiri.

“Mekap harga RM50 untuk pengantin siap pakaikan bulu mata, boleh?

“Saya ni nikah dekat pejabat agama, tak ada orang datang. Saya pula tak pakai baju pengantin, pakai baju biasa. Saya lepas nikah je terus pergi kerja,” kata seorang bakal pengantin.

Begitulah ragam pelanggan ketika melakukan tawar-menawar dengan seorang jurusolek (MUA) walaupun sudah dijelaskan harga solekan untuk majlis makan malam dan keraian adalah RM50, manakala bagi pengantin pula dikenakan caj RM150.

“Nikah di pejabat agama, pejabat tanah ke sama je. Kalau mekap nikah, harganya untuk nikah,” kata MUA itu tetap tenang memberikan penjelasan berulang kali kepada bakal pengantin berkenaan.

Pernah hidup susah membuatkan wanita ini menawarkan harga murah kepada pelanggan yang kurang berkemampuan.

Bercakap kepada mStar, MUA berkenaan, Nurhamizah Zainuddin mengakui caj solekan RM50 itu menyebabkan khidmatnya sering menjadi tumpuan.

Bagaimanapun wanita berusia 38 tahun itu menjelaskan, harga solekan murah tersebut hanya dikenakan kepada pelanggan yang kurang berkemampuan untuk bertunang atau nikah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin menangis tengok muka macam Opera Cina! Geram MUA tolak ‘job’ dekat kawan tanpa persetujuan

ARTIKEL BERKAITAN: Solek pengantin memang dah pro, buat ‘show’ pun boleh! MUA ini pernah cuba nasib uji bakat program realiti TV... tak tolak rezeki ‘pakej 2 in 1’

“Saya daripada golongan orang susah, pernah merasa hidup susah. Dulu mula-mula cari rezeki mekap pun susah nak dapat job selepas berhenti kerja kilang.

“Solekan RM50 itu biasanya untuk ke majlis seperti makan malam. Jika pengantin tak mampu, dia boleh juga dapat harga RM50. Dia boleh berterus-terang dan buktikan dia memang tak mampu.

“Contohnya macam buat majlis tak ada pelamin, tak ada meja bertandang. Atau buat di pejabat agama dan dia sendiri datang kepada kita untuk mekap,” katanya ketika dihubungi mStar.

Kak Amyzah berkata, harga solekan RM50 yang dikenakan untuk majlis keraian. -Gambar hiasan

Mengenai video yang tular, MUA yang lebih dikenali sebagai Kak Amyzah di Melaka dan sekitar Johor terkilan dengan sikap yang ditunjukkan dengan bakal pengantin itu.

“Kalau mekap RM50 biasanya simple, tapi dia demand nak ada bulu mata itu ini. Harga RM150 memang tak sama sebab mekap untuk pengantin biasanya melibatkan masa, penggunaan bahan mekap dan ketahanannya.

“Dia (bakal pengantin) tu memang angkuh cara cakapnya. Apabila tak dapat mekap RM50 untuk nikah, dia tukar pula nak mekap untuk makan malam.

Jika pengantin tak mampu, dia boleh berterus-terang dan buktikan dia memang tak mampu.

KAK AMYZAH

JURUSOLEK

“Pergi dinner, tapi nak mekap pukul 6 pagi. Tahulah dia orang Melaka, tapi janganlah menipu. Dia sebenarnya mampu, tapi kedekut,” ujarnya yang berasal dari Merlimau, Melaka.

Berpengalaman dalam bidang andaman selama hampir 16 tahun, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia menyediakan khidmat solekan kepada pelanggan dari pelbagai latar belakang.

Kak Amyzah (kanan) mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Saya bukan hanya mekap untuk orang susah je. Saya ada juga pelanggan yang datang naik kereta Alphard, ada yang pensyarah, mereka datang mahu mekap yang simple untuk ke majlis hi-tea dan dinner.

“Tapi mereka datang dengan baik dan sopan-santun. Mampu atau tidak, yang penting kena jujur dan berterus-terang. Macam ada seorang bakal pengantin, sudahlah nak mekap harga RM50, tapi nak look macam harga RM850.

"Mintanya macam-macam dan ada yang memaksa,” katanya sambil menambah bakal pengantin itu tidak jadi mengambil khidmat solekannya.

Kak Amyzah yang turut mengusahakan bisnes busana untuk pengantin dan majlis sejak awal tahun berkata, apa yang penting adalah sikap seseorang itu untuk memudahkan kerjasama dan bertolak ansur bagi mendapatkan perkhidmatannya.

“Niat kita nak membantu orang susah, tapi kita pula yang susah apabila ada orang yang ada duit, dia mampu tapi kedekut, termasuk bersikap angkuh,” kata Kak Amyzah lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain