suria

“Nampak seperti ditolak, sebenarnya laris” - Vivy perjelas tindakan jual skaf Palestin, ramai mahu pakai tanda solidariti

Vivy Yusof memperkenalkan koleksi tudung dUCk bertemakan bendera Palestin.

DUNIA sekali lagi gempar dengan serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas bumi Palestin.

Komuniti sejagat bersolidariti bersama Palestin dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada mereka yang terkesan.

Kemusnahan infrastruktur ekoran peperangan antara Palestin dan rejim Zionis -Gambar hiasan The Star

Tidak terkecuali, usahawan terkenal, Vivy Yusof yang tidak teragak-agak menyumbangkan bantuan ke Palestin dengan caranya tersendiri.

Vivy menerusi jenama tudung eksklusif miliknya, dUCk menawarkan koleksi skaf dan selendang bertemakan bendera Palestin, di mana setiap keuntungan yang diraih akan disalurkan sepenuhnya ke pertubuhan amal, Viva Palestina.

Namun, usaha murni Vivy itu seperti disalah tafsir apabila rata-rata warga maya menyelar pendekatannya sebagai oportunis yang mencari publisiti atas tragedi menimpa rakyat Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak tentera Israel lempar bom, mutawif ini cerita pengalaman terkandas dalam zon perang... Zionis geledah bas pelancong

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan hampir seminggu, Israel gugur 6,000 bom di Gaza... Lebih 1,400 terkorban

Bercakap kepada mStar, Vivy menegaskan koleksi tema Palestin yang ditawarkan di bawah jenama dUCk itu adalah sebagai simbol solidariti.

"Koleksi kali ini adalah sama dengan design kami pada tahun 2021, ketika itu berlaku pergolakan antara Israel-Palestin dan kami buat projek yang serupa untuk mengumpul dana bagi membantu saudara kita di sana.

"Kami keluarkan semula koleksi skaf Palestin ini atas permintaan orang ramai, mereka mahu memakai simbol Palestin sebagai tanda solidariti, di samping meyumbang untuk membantu rakyat Palestin.

Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat memberangsangkan, setiap skaf dan selendang tema Palestin sudah beberapa kali habis terjual.

VIVY YUSOFF

"Ada juga mereka yang tidak berhijab yang turut ingin bersolidariti... dengan masa suntuk yang ada, kami dan pembekal sediakan beg tote dan cawan khusus untuk mereka ini.

"Melalui beberapa projek kumpul dana yang dianjurkan pada tahun 2021, kami berjaya mengumpul sejumlah RM2.3 juta dan setiap sen disalurkan terus ke Viva Palestina," jelas Vivy.

Tambah Vivy, koleksi Palestin yang dikeluarkan semula baru-baru ini tetap mendapat sambutan yang baik meskipun dikecam hebat warga maya.

Kolaborasi antara Viva Palestina dan dUCk untuk membantu Palestin.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat memberangsangkan, setiap skaf dan selendang tema Palestin sudah beberapa kali habis terjual.

"Kami sampai terpaksa berbincang dengan pembekal untuk menambah stok, sebab permintaan daripada pelanggan terus-menerus masuk.

"Buat mereka yang sudah ada skaf Palestin dari tahun 2021, kami lihat mereka memilih untuk membeli beg tote Palestin," ujar Vivy.

Berbicara soal kecaman yang diterimanya, Vivy percaya segalanya bermula kerana salah faham di media sosial.

Pembelian mesin ultra bunyi di Palestin yang dibiayai oleh dUCk.

"Walaupun nampak seolah koleksi skaf Palestin ini ditolak, tapi ia tetap laku terjual, ini bermakna ramai yang faham niat murni di sebalik penganjuran projek ini.

"Ramai yang marah dengan koleksi skaf Palestin sebab satu tangkap layar di X, dalam hantaran tu ia hanya tunjuk produk dUCk yang dijual, tapi tidak menunjukkan yang kami berkolaborasi dengan Viva Palestina.

"Ini adalah projek amal sepenuhnya, kami tak dapat apa-apa keuntungan dari ini, tiada kesempatan yang diambil. Selepas ramai dah sedar kesilapan yang berlaku, saya terima banyak permohonan maaf daripada mereka yang menyebarkan fitnah.

"Niat saya jelas, saya tidak mencari apa-apa melalui projek ini melainkan rahmat Allah. Saya dan pasukan hanya mahu berbuat baik," kata Vivy.

Cawan dan beg tote bertemakan bendera Palestin yang dijual oleh dUCk.

Menurut Vivy lagi, dUCk bukan jenama yang pertama menjual pakaian bertemakan Palestin.

"Saya rasa ini adalah pendekatan yang bagus, pemakaian simbol Palestin dapat menyebar luas kesedaran tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di sana," ujar Vivy.

Dana yang berjaya dikumpul akan dimanfaatkan Viva Palestina cawangan Malaysia untuk menghantar bantuan berbentuk bekalan perubatan, makanan, tempat perlindungan sementara dan bahan api hospital ke Palestin.

Koleksi tema Palestin dUCk terdiri daripada skaf dan selendang berwarna hitam atau putih dengan harga RM300 sehelai, selain beg tote bernilai RM50 serta cawan berharga RM40.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain