suria

Remuk hati isteri suami dipukul tanpa belas, dituduh punca murid maut... Mujur ada dashcam - “Aku akan pastikan kamu terima balasan”

Pemandu treler (kanan) yang terlibat dalam kemalangan ngeri pada Rabu dipukul oleh orang awam sehingga cedera parah.

INSIDEN kemalangan maut yang mengorbankan nyawa seorang murid perempuan berusia sembilan tahun pada Rabu, nyata mengundang perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Dalam kemalangan tragis yang berlaku di Kampung Telok Gong, Klang, Nurul Jannatun Assyifa yang membonceng motosikal yang ditunggang pengasuhnya, maut digilis sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Bagaimanapun, pengasuhnya iaitu seorang wanita berusia 54 tahun dan adik lelakinya yang turut membonceng motosikal, mengalami cedera ringan.

Rata-rata warga maya menzahirkan rasa sedih dengan insiden tersebut malah mengeluarkan komen seperti seorang 'hakim' meskipun tidak mengetahui kisah sebenar yang berlaku.

Begitu juga dengan segelintir pengguna jalan raya serta orang awam yang berada di lokasi kejadian ketika itu yang bertindak membelasah pemandu treler sehingga parah tanpa usul periksa.

Pada Khamis, tular rakaman video daripada kamera papan pemuka (dashcam) daripada sebuah kenderaan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, sekaligus menjadi bukti penting yang merungkai apa sebenarnya yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi hari ketiga sesi persekolahan... Murid perempuan darjah 3 bonceng motosikal jiran maut digilis treler

Menerusi rakaman tersebut, kelihatan motosikal yang ditunggangi wanita bersama dua kanak-kanak meluru keluar dari sebatang jalan kecil, menuju ke jalan utama tanpa berhenti terlebih dahulu.

Ketika itu, sebuah treler yang melalui jalan utama tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang ditunggangi tiga individu berkenaan.

"Mana-mana yang kecam, memaki hamun driver lori tu tanpa bukti, macam mana nak minta maaf? Maaflah, video ini sebagai pencerahan punca kemalangan. Usah kita buat andaian atau spekulasi tanpa usul periksa terlebih dahulu.

"Biarkan pihak berkuasa jalankan tugas mereka untuk siasatan," demikian tulis individu yang memuat naik rakaman kemalangan itu di TikTok.

treler 1

Rakaman daripada kamera dashcam menunjukkan motosikal yang ditunggangi tiga individu keluar simpang secara tiba-tiba sebelum dilanggar treler yang tidak sempat mengelak.

Dalam pada itu, seorang individu dipercayai isteri kepada pemandu treler berkenaan turut melahirkan rasa kecewa kerana suaminya dibelasah hingga parah tanpa usul periksa.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di TikTok, wanita yang menggunakan akaun @kakngahezza berkata, suaminya kini perlu mendapatkan rawatan di hospital kerana parah pada muka.

"Jangan ingat kamu boleh terlepas. Kau ingat suami aku tu kayu ke sampai kamu pukul hingga pecah muka suami aku. Aku akan pastikan kamu semua akan terima balasannya.

"Dah terang-terang suami aku tak bersalah. Tanpa dengar penjelasan, kamu terus pukul suami aku. Sudah la kena pukul, pecahkan semua cermin lori, sempat lagi kamu curi dashcam serta barang-barang dalam lori suami aku.

"Doakan suami aku sihat. Dari Hospital Klang terus transfer ke Hospital Ipoh," tulisnya dalam satu video yang dimuat naik pagi Khamis.

Dah memang terang-terang lori di laluan yang betul. Motor tu yang keluar simpang tak tengok dah kiri kanan.

NETIZEN

Wanita itu dalam masa yang sama berkata akan mengambil tindakan untuk menuntut keadilan buat suaminya.

"InsyaAllah dengan izin-Nya aku akan pertahankan suami aku demi keadilan," tulisnya lagi.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati di atas perkara yang menimpa suami wanita tersebut, malah mendoakan agar keadilan berpihak kepada mereka.

"Bukti ada kak, lawan balik kak.

"Macam mana keadaan suami akak? Apa pun yang jadi akan datang, tolong sangat jangan tarik balik report walaupun depa (mereka) merayu macam mana sekalipun.

"Bertabahlah dengan ujian yang datang. Moga dipermudahkan segala urusannya kakngah.

treler 3

Bomba sedang mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar treler.

"Dah memang terang-terang lori di laluan yang betul. Motor tu yang keluar simpang tak tengok dah kiri kanan. InsyaAllah yang baik-baik saja untuk suami akak," demikian antara komen netizen.

Sementara itu Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang pemandu treler yang dipukul orang awam semasa kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu berusia 36 tahun itu, cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai pesakit luar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain