suria

Murid sekolah ‘remake’ filem Mat Kilau, babak perang nampak real... “Lakonan mantap, menjiwai watak”

Antara babak yang dilakonkan murid SK Kayang.

SEJAK penangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatatkan kejayaan luar biasa, kini apa sahaja karya sejarah pasti akan menjadi buah mulut masyarakat Malaysia.

Fenomena yang tercetus itu membuatkan generasi muda khususnya kanak-kanak turut meminati dan memahami kisah-kisah perjuangan generasi terdahulu.

Seperti yang dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, mereka menganjurkan pertandingan berkaitan filem tersebut sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Penganjuran tersebut mendapat penyertaan daripada keseluruhan sekolah yang ada di negeri tersebut termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang yang video lakonannya tular di media sosial.

Bercerita mengenainya kepada mStar, guru yang terlibat dalam pementasan sketsa sekolah tersebut, Kamazya Ahmad berkata, dia dan barisan pengurusan yang lain mengambil peluang yang ada demi meningkatkan prestasi murid.

Ujarnya, syarat penganjuran juga ringkas iaitu peserta (pihak sekolah) diminta untuk mengambil apa sahaja babak yang berdurasi tiga minit di dalam filem Mat Kilau dan dilakonkan semula.

"Meskipun bukan kepakaran kami untuk menghasilkan video-video lakonan seumpama itu, tetapi apa yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri dilihat dapat membantu meningkatkan minat murid dalam mata pelajaran sejarah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali terbit filem terus cipta sejarah... ‘Mat Kilau’ kini karya paling laris, penerbit jangka cecah RM70 juta!

ARTIKEL BERKAITAN: Kutipan RM90 juta, penerbit ‘Mat Kilau’ hadiah pakej umrah untuk produksi dan biasiswa bantu anak yatim

"Ia sekali gus membantu golongan sasar seperti murid memahami dan mengingati detik hitam yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu.

"Pada masa sama dapat memperkenalkan warisan serta budaya masyarakat terdahulu yang sewajarnya dipelihara dengan baik sebagai identiti negara," jelasnya.

Pada peringkat awal, ujarnya, kesemua guru ingin turut serta dalam pementasan sketsa tersebut namun bagi memberi fokus kepada kemenjadian murid seperti yang disarankan Guru Besar SK Kayang, penglibatan guru terpaksa dihadkan.

Sketsa yang dilakonkan murid dan guru SK Kayang.

Sketsa yang dilakonkan murid dan guru SK Kayang.

"Jadi murid yang akan berlakon manakala cikgu terlibat di belakang tadbir seperti penyediaan props, editing dan sebagainya. Kebanyakan murid adalah mereka yang belajar di Tahun 4 hingga 6.

"Untuk arahan dan story board saya akan bantu manakala rakaman serta suntingan video dilakukan oleh seorang lagi guru yang mahir dalam bidang tersebut," ujarnya.

Dia yang juga guru subjek pendidikan Islam turut mengakui bahawa filem Mat Kilau banyak membantu mengubah persepsi masyarakat terutama sekali murid.

Generasi sekarang perlu didedahkan dengan filem seumpama itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan orang terdahulu.

QAYYUM

PELAJAR

Mana tidaknya, subjek sejarah yang sinonim dengan rasa mengantuk ketika diajar di kelas, kini menjadi idaman semua pelajar.

"Murid-murid sendiri datang bertanya tentang sejarah Mat Kilau dan pahlawan-pahlawan lain, itu tidak termasuk sejarah kenegaraan yang lain.

"Memang nampak sangat mereka minat dengan subjek tersebut... lebih-lebih lagi semasa sekolah mengumumkan sambutan Hari Kebangsaan.

Sebahagian babak serangan seperti dalam filem Mat Kilau.

Sebahagian babak serangan seperti dalam filem Mat Kilau.

"Kalau sebelum ini, selalunya pemakaian biasa atau berasaskan bendera tapi sekarang keseluruhan murid datang dengan busana seperti generasi terdahulu," katanya.

Tambah beliau, keputusan pertandingan bagaimanapun belum diumumkan lagi.

Sementara itu, Riz Muhammad Qayyum Taufiq iaitu murid yang melakonkan peranan Mat Kilau dalam sketsa berkenaan memberitahu, selain dapat mengetahui pahlawan terdahulu, dia juga dapat menyemai serta menjiwai semangat cintakan tanah air.

"Bagi saya, generasi sekarang perlu didedahkan dengan filem-filem seumpama itu agardapat menghargai jasa dan pengorbanan masyarakat terdahulu yang sanggup bermandi darah demi negara," ujarnya yang berusia 11 tahun.

Seorang lagi murid, Nur Airis Safira Aidil, 12, berkata, selain mendapat pengalaman baharu, dia juga semakin jelas dengan budaya serta warisan masyarakat dahulu.

Cikgu-cikgu yang terlibat dalam pementasan sketsa.

Cikgu-cikgu yang terlibat dalam pementasan sketsa.

Malah katanya, ia perlu dipupuk dalam jiwa kanak-kanak seusianya supaya semangat patriotik dan cintakan negara sebati dengan diri sejak awal.

Terdahulu, rata-rata warganet memuji hasil kerja yang dilakukan selepas video tersebut dimuat naik di YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis itu.

Meskipun ia tidaklah sehebat penghasilan filem asal, namun mesej berjaya disampaikan kepada umum selain dapat mengasah bakat murid.

"Tahniah anak-anak Kasih dan para guru. Lakonan yang hebat dan mantap, menjiwai watak... moga semangat perjuangan Mat Kilau akan terus meresap dalam diri anak-anak semua.

"Bukan mudah untuk menjayakan lakonan dan watak... walaupun mereka ini semua masih kecil dapat menghidupkan watak yang diberikan.

"Terbaik dan menarik, sangat kreatif serta berbakat... babak perang nampak real," ujar beberapa netizen.

Terdahulu, sketsa yang dihasilkan itu tular di media sosial dan dikongsikan di beberapa platform lain termasuk Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain