suria

Pertama kali terbit filem terus cipta sejarah... ‘Mat Kilau’ kini karya paling laris, penerbit jangka cecah RM70 juta!

Abdul Rahman tidak menyangka filem pertama terbitannya mendapat sambutan luar biasa.

SECARA rasminya, filem epik Melayu yang mencetuskan fenomena, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi karya paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia apabila memperolehi kutipan RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Angka itu sekaligus mengatasi kutipan filem Munafik 2 yang juga arahan Syamsul Yusof dengan RM48 juta pada 2018.

Syamsul dalam kenyataan ringkas di Instagram miliknya melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Malaysia yang menyokong filem berkenaan.

“Mat Kilau memecah semua rekod dan secara rasminya nombor satu! Kutipan keseluruhan RM53 juta di box-office setakat ini dan ia kutipan filem tempatan paling tinggi dalam sejarah.

288325675_752337839541507_1161045160617730104_n

Barisan pelakon filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Mat Kilau masih ditayangkan dan masih mendapat sambutan. Terima kasih Malaysia, Singapura dan Brunei. Alhamdulillah,” katanya.

Filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Johan As’ari, Ali Karimi, Khir Rahman, Wan Hanafi Su dan Yayan Ruhian.

Selain Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dan Munafik 2, lapan filem yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah adalah Hantu Kak Limah (RM36.2 juta), Ejen Ali: The Movie (RM30.05 juta), BoBoiBoy Movie 2 (RM 30 juta), Paskal (RM28.9 juta), Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (26.2 juta), Polis EVO 2 (RM22.4 juta), Abang Long Fadil 2 (RM 18.1) dan Polis EVO (RM 17.7 juta).

ARTIKEL BERKAITAN: “Marilah kita bermaaf-maafan” - Penerbit Mat Kilau dah hantar surat minta maaf harap Finas tak besarkan isu

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Syamsul Yusof box office lagi! ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ kutip RM47 juta dalam masa 11 hari, bakal atasi ‘Munafik 2’

Sementara itu, penerbit filem itu, Abdul Rahman ketika dihubungi mStar berkata, beliau tidak menyangka karya terbitan pertama syarikatnya Studio Kembara Sdn Bhd mendapat kutipan sebanyak itu namun apa lebih penting katanya, karya itu bukan sahaja memberi hiburan malah manfaat kepada penonton.

Kita menjangkakan Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan akan terus bertahan di pawagam dalam tempoh sebulan ke dua bulan, bergantung kepada respon penonton dan pihak pawagam.

ABDUL RAHMAN MAT DALI

PENERBIT MAT KILAU KEBANGKITAN PAHLAWAN

"Saya yakin filem yang bagus akan dapat sambutan sebegini, tetapi sejujurnya memang tak sangka akan dapat kutipan luar biasa seperti ini.

"Saya terharu apabila melihat ada golongan warga emas yang datang ke pawagam menggunakan kerusi roda dan sudah lama tak ke panggung wayang hadir memberikan sokongan termasuk golongan kurang upaya seperti cacat penglihatan pun datang.

"Alhamdulillah dapat puaskan hati penonton dengan hiburan bermanfaat," katanya.

Melihat kepada kecemerlangan filem itu di pawagam, Abdul Rahman berkata, pada tahap ini pihaknya mensasarkan kutipan akan menjangkau RM60 ke RM70 juta dan ia bergantung kepada respon penonton selain tempoh tayangan di pawagam.

"Kita menjangkakan Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan akan terus bertahan di pawagam dalam tempoh sebulan ke dua bulan, bergantung kepada respon penonton dan pihak pawagam," ujarnya.

Syamsul

Pengarah Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof.

Tidak hanya itu, Abdul Rahman juga tidak melupakan semua krew dan pelakon yang terlibat dan akan memberi imbuhan kepada hasil kerja keras mereka.

Meskipun masih baharu sebagai penerbit, Abdul Rahman sudah pun merancang untuk menghasilkan lebih banyak filem berbentuk epik dan sejarah dalam usaha menghidangkan hiburan berbentuk ilmiah kepada penonton.

Ini kerana kata Abdul Rahman sudah menjadi minat dan tanggunjawabnya untuk meningkatkan rasa cinta terhadap tanah air menerusi filem agar dapat diteladani golongan muda.

"Memang menjadi hasrat saya untuk mengangkat pejuang yang hebat pada zaman dahulu dalam filem. Atas sebab itu juga nama produksi ini Studio Kembara.

"Saya mahu memberi hiburan bermanfaat dengan mengangkat watak hebat pada masa lalu," jelasnya yang sudah pun mempunyai senarai mengenai idea filem seterusnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain