suria

Anak malu tak mampu pasang kepuk kubur arwah bapa, orang lain siap marmar... Netizen tegur “Buat apa bertanding kubur siapa lawa?”

Seorang wanita meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat membuat binaan batu marmar pada kubur arwah bapanya.

SEJAK kebelakangan ini, masyarakat beragama Islam dilihat gemar menghias kubur ahli keluarga dengan membuat binaan daripada batu marmar yang cantik atau meletakkan batu nisan yang mahal harganya.

Seperti menjadi satu kewajipan kepada keluarga yang masih hidup, amalan membuat binaan di pusara kadangkala menjadi rungutan bagi mereka yang kekurangan 'modal'.

Melalui kisah yang sama, seorang wanita yang baru mendirikan rumah tangga, meluahkan rasa sedih apabila dia tidak mampu menghias kubur arwah bapanya seperti orang lain.

Menerusi coretan di Facebook, dia turut mengakui bahawa keluarganya adalah orang 'berada' namun tiada siapa yang ingin membuat binaan batu marmar berkenaan.

"Saya cuma nak kongsi perasaan... saya ada ramai adik beradik dan semuanya orang senang kecuali saya sebab baru-baru berkahwin ni banyak hutang yang perlu kami suami isteri bayar. Alhamdulillah masih bertatih lagi.

Hantaran yang dibuat seorang wanita di Facebook.

Hantaran yang dibuat seorang wanita di Facebook.

"Saya cuma sedih apabila melawat kubur arwah ayah. Rasa bersalah, bercampur malu dengan orang lain yang datang ziarah kubur saudara mara mereka.

"Iyalah kubur orang lain semua sudah pasang marmar, saya jadi malu sedangkan keluarga saya orang berada," luahnya.

Lebih menyedihkan apabila dia turut menerima kata-kata sindiran daripada masyarakat kerana tidak membina marmar di kubur.

"Hakikatnya memang ada orang mengata. Arwah dah tiada siapa-siapa... ibu saya pun sudah berkahwin dengan orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara rindu, ibu bapa ‘meriahkan’ kubur arwah anak dengan letak banyak mainan... pendakwah terkejut tengok!

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup susah, mati pun susah! Netizen luah pandangan lihat iklan kubur, boleh pilih marmar atau simen tapi ada yang nak letak batu sungai je

"Apabila tibanya raya, saya seorang sahaja yang melawat kubur arwah. Adik beradik semua takkan pulang ke kampung lagi kerana masing-masing sibuk dengan kemewahan yang dimiliki.

"Doakan saya dapat kumpul wang untuk buat kubur arwah ayah supaya nampak macam kubur orang lain," tambahnya.

Hantaran yang dibuatnya itu kemudian tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netien.

Hiasan batu marmar yang tinggi seolah-olah trend masyarakat masa kini.

Hiasan batu marmar yang tinggi seolah-olah trend masyarakat masa kini.

Kebanyakan warganet berpandangan bahawa dia tidak sepatutnya berasa malu kerana gagal membuat binaan atau kepuk di sekeliling kubur ayahnya selain menyifatkan dia sebagai 'malu tak bertempat'.

"Malu tak kena tempat gaya ni... awak patut bangga dengan diri sebab masih mampu ziarah kubur ayah selalu, doakan arwah. Itu bekalan yang boleh sampai kat arwah, doa seorang anak.

"Menghias kubur adalah dilarang dalam Islam, tak perlu marmar bagai, cukup batu nisan sebagai tanda... si mati lebih mengharap doa anak-anak daripada kubur yang cantik. Jadi, banyakkan berdoa untuk ayah, lain-lain tak payah fikir sangat," kata beberapa netizen.

Malu tak kena tempat gaya ni... awak patut bangga dengan diri sebab masih mampu ziarah kubur ayah selalu, doakan arwah.

NETIZEN

Dalam pada itu, segelintir warganet lagi mencadangkan beberapa kaedah yang lebih ringkas jika wanita berkenaan mahu membuat tanda di kubur bapanya.

"Bubuh batu sungai saja, susun elok-elok... kubur arwah mak mentua saya pun tak pakai mozek, kami buat sendiri cari batu-batu sungai kemudian susun dan tanam satu pokok.

"Tak perlu modal pun sebenarnya, semua tu tak penting, yang penting doa daripada anak-anak. Buat apa bertanding kubur siapa lawa?

"Tanam pokok pun dah okay, sekurang-kurangnya pokok tu boleh zikir untuk arwah, tu yang sebaiknya," kata netizen lagi.

Antara reaksi netizen.

Antara reaksi netizen.

Sementara itu sebagai peringatan bersama, laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan perbuatan membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya adalah makruh.

Namun, pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram.

Ini kerana perbuatan tersebut dilarang Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain