suria

Sering abai hidayah Allah sehinggalah ditugaskan ke Jeddah, bekas pramugari nekad peluk Islam! Terkejut reaksi keluarga

Nur Elisha berharap ibunya turut diberikan hidayah.

MELAKUKAN penghijrahan bukanlah perkara yang mudah lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan anutan agama dan kepercayaan.

Memiliki keluarga yang supportive, Nur Elisha Zulaikha Impang bersyukur dan gembira apabila pilihannya untuk mendalami agama Islam direstui kedua-dua orang tuanya.

Bukan itu sahaja, ibunya juga sentiasa mengingatkannya tentang solat selain sanggup membeli perkakasan rumah yang baharu terutama pinggan mangkuk dan periuk.

Malah, kedua-dua orang tuanya turut menjaga rumah yang terletak di Kuching, Sarawak daripada dimasuki anjing.

Bercerita tentang penghijrahan yang dilakukannya itu, dia yang begitu gemar dengan nama Nur berkata, dirinya mula tertarik dengan Islam dan masyarakat Muslim seawal usia remaja.

Disebabkan itu, dia sering memakai baju kurung apabila pergi ke sekolah sehinggalah minatnya dapat dihidu ibu tercinta.

“Semasa di sekolah menengah, saya tidak tahu kenapa bila tengok kawan-kawan yang muslim hati akan berasa tenang dan begitu gemar melihat mereka.

“Bermula dari situlah saya jadi minat nak pakai baju kurung sehinggakan mak saya cakap ‘hari-hari pakai baju kurung, nak masuk Islam ke?’

Nur Elisha bersyukur pilihannya diterima keluarga.

Nur Elisha bersyukur pilihannya diterima keluarga.

“Mungkin masa tu sudah mendapat hidayah Allah, tetapi saya ignore kerana tidak percaya akan bertukar agama tambahan pula saya merupakan anak tunggal... jadi sukar untuk perkara tersebut berlaku,” luahnya yang tidak menyangka akan memeluk Islam pada usia 23 tahun.

Menurutnya, perkara yang paling tidak disangka adalah ketika bekerja di sebuah syarikat penerbangan, dia terpilih untuk membawa jemaah umrah ke Jeddah.

Ketika menguruskan penerbangan ke sana, usianya baru mencecah 21 tahun.

“Disebabkan berlainan agama, saya mencari maklumat tentang pakaian serta warna yang sesuai ketika berada di sana. Selain Google, saya juga mendapatkan pandangan rakan-rakan Muslim yang lain.

“Jadi saya dapatkan jubah serta tudung bawal yang memang sangat diminati untuk dipakai pada hari berkenaan.

Hampir dua tahun Nur Elisha memeluk agama Islam.

Sudah hampir dua tahun Nur Elisha memeluk agama Islam.

“Bila sampai di lokasi, saya rasa tenang dan entah mengapa fikiran serta hati terasa kosong,” luahnya lagi.

Sikap dan perwatakan anak kelahiran Iban-Bidayuh itu sedikit sebanyak diperhatikan ibunya sehinggalah tiba-tiba dia diajukan tentang perihal rakan serta teman lelaki.

“Mak tanya kenapa saya tidak pernah kenalkan kawan-kawan mahupun teman lelaki kepada dia. Malah ibu juga pernah terfikir bahawa teman lelaki saya adalah seorang muslim.

“Jadi saya cakap kat mak jangan risau sebab semuanya adalah kawan-kawan sahaja... sehingga saya bertemu dengan seorang lelaki yang kini menjadi suami saya.

“Dia cakap tak mahu berkawan lama dan ingin menghalalkan saya... selepas itu, saya rasa bimbang serta tidak tahu cara terbaik untuk memaklumkan tentang hubungan bersama teman lelaki,” ujarnya yang turut memikirkan kemungkinan akan dibuang dari keluarga oleh kedua orang tuanya.

Bersama kedua-dua orang tuanya.

Bersama kedua-dua orang tuanya.

Namun, pemilik nama asal Ellisca anak Impang ini, tidak patah semangat dan cuba mendapatkan restu daripada ibu dan bapanya selepas yakin bahawa perjalanan hidupnya sebagai seorang Muslim sudah tertulis selepas percaya beberapa kali telah diberikan hidayah.

Malahan dia bernekad supaya huhungan kekeluargaan tidak putus seperti yang berlaku kepada beberapa rakannya yang dibuang keluarga selepas bertukar agama.

“Saya memberanikan diri untuk menghubungi mak dan memaklumkan yang saya ingin berkahwin tetapi perlu memeluk agama Islam. Mak pun sudah mengenali bakal suami yang baru sebulan saya berkawan.

“Pada masa sama, saya nyatakan bahawa telah berjumpa dengan keluarga bakal suami dan mereka sangat baik.

“Mak terus bertanyakan sama ada saya betul-betul ingin memeluk Islam... suaranya ketika itu juga sudah sebak.

Bagi menenangkan mak, saya nyatakan bahawa hubungan kekeluargaan tidak akan terputus kerana hanya agama sahaja yang bertukar.

NUR ELISHA

“Bagi menenangkan mak, saya nyatakan bahawa hubungan kekeluargaan tidak akan terputus kerana hanya agama sahaja yang bertukar. Saya cakap tiada yang akan berubah, melainkan cara solat serta larangan makanan,” imbaunya.

Bercerita lanjut, katanya, pada malam yang sama dia sekali lagi menghubungi ibunya bagi mengetahui situasi serta menenangkan keadaan.

“Saya pujuk mak dan ceritakan yang saya masih boleh menghubunginya, balik dan tidur bersamanya seperti biasa kerana tiada yang berubah melainkan agama... perkara itu kemudian dimaklumkan kepada ayah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan jadi saksi, gadis ini peluk Islam selepas kaji agama terdahulu... Menangis pertama kali pakai tudung, rasa lebih selamat

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun selepas lafaz syahadah sendiri, pemuda ini akhirnya peluk Islam secara rasmi! Ebit Lew antara individu beri pengaruh besar

“Selepas beberapa ketika, saya menghubungi ayah walaupun takut kerana dia sangat garang. Walaupun ayah dah tahu, tapi saya ceritakan sendiri hasrat saya untuk memeluk Islam dan berkahwin.

“Ayah masa tu diam sahaja dan kemudian dia tanyakan sama ada betul atau tidak saya ingin memeluk Islam. Tiga kali dia ajukan soalan sama dan saya nyatakan yang ia adalah untuk diri sendiri serta ingin bertaubat bukan kerana cinta atau sesiapa.

Nur Elisha gembira apabila rakan baiknya hadir pada hari dia memeluk Islam.

Nur Elisha gembira apabila rakan baiknya hadir pada hari dia memeluk Islam.

“Sebelum mengakhiri perbualan telefon, mak terus berkata yang dia reda dengan keputusan saya dan menganggap ia sudah ditentukan,” luahnya sebak.

Menurut Nur Elisha lagi, pada hari dia mengucapkan dua kalimah syahadah di Hulu Selangor, Selangor, kedua orang tuanya tidak dapat hadir.

Di sebalik rasa sedih, dia terkejut apabila bapanya tiba-tiba menghubungi dan menasihatkannya supaya terus mempelajari agama Islam.

“Ayah cakap, bila dah masuk Islam jangan berhenti belajar... kena cari ilmu dan jangan mempermainkan agama Islam seperti beberapa orang lain yang tidak belajar dengan baik sehingga akhirnya kembali ke agama asal.

“Pesan ayah itu tersemat di hati saya dan akan saya turuti sehingga akhirnya,” katanya yang kini hampir dua tahun menjadi seorang muslimah.

Tambahnya, selepas mendirikan rumah tangga, syarikat penerbangan tempatnya berkhidmat kembali menawarkan pekerjaan namun dia menolak kerana ingin mendalami ilmu agama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain