suria

Rosak program! Impian ‘staycation’ di vila menghadap laut berkecai gara-gara terjerat iklan murah scammer di FB

Mangsa hanya menyedari menjadi mangsa tipu selepas mesej yang dihantar tidak dibalas.

SUDAH la wang berjumlah ratusan ringgit lesap, rancangan percutian juga tak nampak bayang!

Semuanya gara-gara terlalu mempercayai iklan promosi di Facebook walaupun tidak mengetahui latar belakang ejen yang mendakwa mewakili agensi pelancongan.

Begitulah yang terjadi kepada individu bernama Maszulasry Armas, 25, apabila rancangan staycation hari keluarga sempena Aidilfitri di sebuah vila mewah terkenal di Kota Kinabalu, Sabah hancur berkecai.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 minit lesap RM30,000! Suami isteri menggigil, rasa nak gugur jantung kena ‘scam’ servis kemas rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Hangus RM16,000! Tertarik dapat habuan lumayan, jejaka ini pinjam mak ayah labur sejumlah wang... padahnya scammer lesap

Bercerita lanjut kepada mStar, Maszulasry yang senang disapa Jojoy berkata dia kerugian sebanyak RM740 selepas membuat transaksi pembayaran secara dalam talian kepada sindiket penipuan pada 14 Mei 2022.

"Sudah lama rancang nak buat gathering hari keluarga. Masa raya awal Mei haritu ramai adik-beradik tak dapat berkumpul. Jadi pada hujung Syawal ni barulah semua dapat tarikh cuti serentak.

Tangkap layar posting asal mengenai scammer oleh Jojoy di Instagram.

"Jadi saya pun ambil keputusan untuk belanja sekeluarga pergi bercuti dekat satu vila yang memang hot pick dekat Sabah. Saya jumpa dan tertarik dengan satu iklan dekat Facebook yang disebarkan oleh seorang ejen lelaki ni.

“Apabila sudah dapatkan nombor WhatsApp, saya berunding dengan dia untuk lock tarikh menginap dekat vila tu pada 30 Mei hingga 1 Jun nanti," katanya.

Tambah Jojoy dia bagaimana tersilap langkah apabila membuat pembayaran penuh kerana bimbang tempahan vila pada tarikh berkenaan terlepas ke tangan orang.

Apabila kena macam tu baru sedar yang saya kena tipu... memang huru-hara sikit lepas tu.

MASZULASRY ARMAS

"Dia minta saya buat bayaran penuh masa tengah runding nak buat tempahan. Saya risau orang lain tempah tarikh yang sama dengan pilihan saya.

"Jadi saya pun terus bayar melalui online transfer,” jelasnya.

Namun, setelah pembayaran penuh dibuat kepada ejen tersebut, lelaki scammer yang menggunakan akaun bank atas nama Razali Shamsudin ini hilang tanpa khabar berita setelah tiga hari cuba dihubungi oleh Jojoy.

“Saya percaya dengan dia sebab nampak macam trusted apabila tengok ada gambar, katalog dan emel yang menunjukkan dia seorang ejen syarikat pelancongan. Gambar profil dekat Whatsapp pun dia guna foto dengan isteri, lagilah saya tak ragu-ragu nak terus buat tempahan.

Butiran mengenai penipuan beserta jumlah wang yang dipindahkan kepada scammer.

“Lepas buat bayaran, saya hantar gambar resit pembayaran sebagai bukti, waktu tu kira-kira pukul 5 petang. Dia minta saya tunggu sebab nak semak transaksi bayaran tu. Setelah tunggu sampai pukul 10 malam masih diam tak ada khabar jadi saya tanya semula fasal bayaran.

“Setiap hari saya minta dia respons dekat WhatsApp tapi tak dibalas. Semua mesej saya tu dia terima saja tapi sengaja dibiarkan. Sampailah hari ketiga, dia block nombor saya sebab sudah tak dapat dihubungi.

“Apabila kena macam tu baru sedar yang saya kena tipu. Memang huru-hara sikit lepas tu. Selepas buat cross-check dekat media sosial dan CCID (Commercial Crime Investigation Department) baru tahu yang memang ada beberapa posting fasal scammer yang sama,” ujar Jojoy.

Jojoy terkilan setelah wang yang digunakan untuk percutian bersama keluarga lesap.

Tanpa berlengah, Jojoy terus membuat laporan polis di Balai Polis Inanam, Sabah pada 18 Mei.

Katanya yang merupakan anak ke enam daripada tujuh beradik ini, pihak polis meminta Jojoy untuk bawa laporan yang dibuat ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membekukan akaun bank si pelaku.

Dalam pada itu Jojoy juga telah membuat posting di media sosial bagi menyebarkan tentang taktik penipuan yang dilakukan oleh individu tersebut sebagai peringatan agar tiada lagi mangsa menerima nasib sepertinya.

Laporan polis yang dibuat oleh Jojoy di Balai Polis Inanam, Sabah.

“Pada malam dapat tahu saya kena tipu tu, terus pergi buat laporan dekat balai. Apabila sampai sana rupanya inspektor polis tu cakap mereka memang dah buka kertas siasatan sebab ada beberapa report untuk kes sama sebelum ni.

“Jadi polis minta saya bawa cover report tu pergi dekat SKMM dan minta bank bekukan akaun scammer tu.

"Lepas saya post fasal scammer ni berserta gambar dia dekat Instagram, ada individu yang merupakan tuan gambar tu beritahu tu gambar dia.

"Maksudnya si scammer guna gambar orang lain untuk memperdaya mangsa seperti saya," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain