suria

Gadis persoal kenapa van jenazah guna lampu kecemasan, selain tuntutan agama NGO beri 6 sebab perlu segera kebumi arwah

Seorang pengguna Twitter mempersoalan van jenazah menggunakan lampu kecemasan.

KECOH di media sosial sejak Sabtu mengenai satu pertanyaan mengenai jenazah.

"Kenapa van jenazah nak guna lampu kecemasan tengah-tengah traffic jam ni? Dah jadi jenazah dah kan?" tulis seorang gadis menerusi satu ciapan di laman Twitter.

Kenyataan tersebut ternyata membangkitkan kemarahan orang ramai yang menyifatkan kenyataannya tidak sensitif terhadap orang yang telah meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut

ARTIKEL BERKAITAN: Treler terbabas jam 4 pagi, skuad pengurusan jenazah kongsi kisah lelaki India cuak dibawa ke tepi keranda - "Van ni ada mayat ke?"

Beberapa individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah turut tampil memberikan pandangan mereka termasuklah pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang lebih dikenali sebagai Wan Chai yang berkata, selain solat dan nikah, menguruskan jenazah merupakan salah satu daripada tiga perkara yang harus disegerakan.

"Nabi SAW menyuruh kita agar segera mengebumikan jenazah apabila jenazah itu telah selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan," tulisnya di laman Facebook, petang Ahad.

Wan Chai turut memetik sabda sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: "Hendaklah kamu segera mengebumikan jenazah (mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkuk kamu".

Sabda tersebut turut dikongsi dalam garis panduan mengenai cara pengurusan jenazah Islam terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

van jenazah 4

Posting yang kini tular di media sosial.

Di ruangan komen, Wan Chai berkongsi pengalaman mengenai pihaknya menguruskan 16 jenazah dalam sehari ketika lambakan kematian akibat Covid-19 pada tahun lalu.

"Nak aturkan masa bukan mudah sebab kami perlu bergerak pantas. Kami tak nak jenazah-jenazah yang ada menunggu lama untuk diurus serta dikebumikan.

"Secara logiknya kegunaan lampu beacon atau kecemasan atau siren adalah perlu melibatkan kematian yang perlu disegerakan," tambahnya.

Sementara itu, seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) pengurusan jenazah, JNZA Gaung Global yang lebih dikenali sebagai Mat Yoe berkata, faktor paling utama lampu kecemasan dipasang bagi memastikan pengguna jalan raya lain menyedari kehadiran mereka dan segera memberikan laluan.

Masa

Selain dari sudut agama yang perlu menyegerakan urusan jenazah, katanya, terdapat enam faktor sudut teknikal iaitu masa, pemandu kenderaan jenazah, keadaan jenazah, perkara luar jangka, keadaan kubur dan permintaan waris.

"Pengurusan jenazah sangat berkait rapat dengan masa. Setiap urusan akan ditentukan dengan masa.

"Contohnya jenazah boleh dibawa keluar dari bilik forensik pada pukul 9 pagi. Mandi kapan akan dilakukan pada pukul 10 pagi di rumah si mati. Solat jenazah di masjid pada pukul 11 pagi. Pengebumian akan dilakukan pada 12 tengah hari.

"Dalam pengurusan jenazah, lewat 10 minit pun dikira sangat lama. Setiap masa ditentukan oleh waris dan juga pasukan pengurusan jenazah biasanya akan ditetap dengan setepat-tepatnya," katanya di laman Facebook, pada Ahad.

van jenazah 6

Antara komen netizen berhubung posting yang tular.

Pemandu kenderaan jenazah

Menurut Mat Yoe, dalam sehari bukan satu jenazah perlu diuruskan kerana dia sendiri pernah menguruskan lapan jenazah dalam tempoh 24 jam.

"Bermula 8 pagi dan berakhir 6 pagi keesokan harinya. Perjalanan dari hospital ke tanah perkuburan pula agak jauh. Pergi dan balik memakan masa tiga jam jika langsung tidak berhenti.

"Macam aku, jika ada jenazah di dalam kenderaan aku cuma akan berhenti untuk isi minyak dan juga solat sahaja. Selebihnya aku akan buat apabila selesai hantar jenazah.

"Kami pemandu van jenazah adalah manusia biasa yang memerlukan rehat serta makan dan juga minum selepas selesai tugasan," katanya.

Keadaan jenazah

Mengenai keadaan jenazah, kata Mat Yoe, kebiasaannya ia mampu bertahan di persekitaran luar selama kurang lapan jam selepas meninggal dunia, berbeza dengan di bilik forensik yang boleh bertahan lama kerana suhu yang sejuk di dalam peti.

"Selepas lapan jam jenazah berada di luar biasanya badan jenazah akan sedikit lebam dan juga mula mengeluarkan sedikit bau. Kadang-kala cairan badan juga akan mula keluar dari mulut dan juga hidung.

"Jenazah kemalangan atau jenazah yang mempunyai luka besar cuma mampu bertahan di persekitaran luar lebih kurang empat jam sahaja. Jenazah seperti ini akan mula membusuk apabila lebih dari empat jam," tambahnya.

van jenazah 7

Penjelasan Wan Chai mengenai urusan jenazah perlu disegerakan.

Perkara luar jangka

Menurut Mat Yoe lagi, terdapat keadaan luar jangka seperti kenderaan jenazah mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan di mana ia perlu diganti dengan segera.

"Kita perlu berusaha sedaya-upaya supaya waktu yang dijanjikan dengan waris dapat ditepati dan jika terlewat sekalipun, tidak terlalu lama," ujarnya.

Selain solat dan nikah, menguruskan jenazah merupakan salah satu daripada tiga perkara yang harus disegerakan.

WAN CHAI

Keadaan kubur

Dalam pada itu, Mat Yoe turut menjelaskan mengenai keadaan kubur yang jarang diketahui orang ramai kecuali mereka yang sering menggali kubur.

"Muka bentuk bumi ada banyak. Ada tanah pasir, ada tanah gambut, ada tanah bukit, ada tanah selut. Kubur jenis berpasir dan berair jika di gali awal biasanya akan mudah runtuh. jika runtuh, proses pengebumian akan tergendala.

"Kadang-kala kubur akan digali menggunakan backhoe apabila jenazah tiba di tanah perkuburan dan akan segera dikebumikan.

"Tanah runtuh boleh membahayakan nyawa orang yang menguruskan pengebumian tersebut. Kalau jenazah lambat sampai, nak biar tukang urus kubur berkampung kat kubur?" soalnya.

van jenazah 5

Mat Yoe turut memberi penjelasan dari sudut teknikal mengenai pengurusan jenazah.

Permintaan waris

Mat Yoe turut menyentuh mengenai permintaan waris selagi ia tidak melanggar hukum agama yang mahu jenazah segera dikebumikan.

"Kami pernah buat satu kes di mana arwah meninggal dunia pada pukul 2 pagi dan pengebumian selesai pukul 6 pagi hari yang sama. Cuma empat jam masa diperlukan.

"Dalam keadaan macam ni, kami memang perlu pantas dalam segala benda. Mandi kapan, gali kubur dan bawa jenazah dari forensik ke tanah perkuburan.

"Dalam pengurusan jenazah ni berkait dengan ramai orang dan banyak pihak sebenarnya seperti anggota KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) di bilik forensik, polis, tukang mandi kafan jenazah, jemaah solat jenazah, tukang gali kubur, tukang buat keranda dan tukang baca talkin.

"Apabila berkait dengan ramai orang, tak baik jika kita mencuri atau melengah-lengahkan masa orang lain sebab mereka pun ada banyak perkara lain yang mesti diselesaikan," katanya.

Sehubungan itu kata Mat Yoe, sekiranya terdapat situasi di mana van jenazah yang menghidupkan lampu beacon atau pasang siren, mohon diberi laluan kepada mereka.

"Tak sampai lima minit pun beri laluan tu. Permudahkan urusan orang lain insyaAllah Allah akan permudahkan urusan kita di masa depan," kata Mat Yoe menerusi posting di Facebook miliknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain