suria

Ibu buntu fikir nasib anak kembar... kurang curah kasih sayang untuk si abang di rumah, si adik pula dah 10 bulan ‘menetap’ di hospital

Sejak dilahirkan, Aydin hanya dapat pulang ke rumah bersama kembarnya selama sehari saja pada bulan puasa baru-baru ini.

KEHIDUPAN pasangan ini lebih berseri selepas mereka dikurniakan sepasang kembar lelaki yang dinamakan Aydan Malique dan Aydin Malique pada tarikh 12 Jun tahun lalu.

Kegembiraan itu bagaimanapun bertukar duka apabila salah seorang bayi berkenaan didiagnos menghidap penyakit short bowel syndrome atau usus pendek sehingga terpaksa dirawat di hospital sehingga ke hari ini.

Menurut Nur Shahira Anisha Muhamad Zuber, 23, dia dan suaminya Mohamad Iqbal Adib Mohd Afzanizam, 24, bagaikan sudah kering air mata menangisi nasib pilu yang menimpa si kecil itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menggigil diminta ambil anak lahir pramatang di hospital selepas 81 hari terpisah... tenang ramai tanya tentang saiz, kulit gelap

ARTIKEL BERKAITAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

"Saya melahirkan bayi kembar lelaki. Selepas dua minggu dilahirkan, kembar nombor dua (Aydin) menghadapi masalah berak berdarah. Dotor buat imbasan dan mendapati ada masalah usus. Ususnya ada kuman.

"Setakat ini sudah tiga kali Aydin dibedah. Yang pertama doktor buang bahagian usus yang ada kuman. Kali kedua, buang bahagian usus yang tak sihat. Kali ketiga, doktor sambung usus pendek dia. Usus besar okay, usus kecil saja ada masalah.

"Sebenarnya saya juga bersalin pramatang pada usia kandungan 32 minggu. Aydan diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Selayang selama lebih sebulan, Aydin pula di NICU Hospital Tunku Azizah (HTA) di KL sehingga ke hari ini kerana masalah ususnya," ujar wanita itu.

Mesra disapa Shahira, dia mengakui sukar melalui proses berpantang tanpa kedua-dua bayi di sisi, malah turut berdepan cabaran untuk berulang-alik antara dua hospital berkenaan.

kembar 2

Shahira dan suaminya menyambut kelahiran kembar itu pada Jun tahun lalu.

Malah katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan secara biasa-biasa sahaja memandangkan Aydin masih berada di hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Sedih sebenarnya bila berpantang tanpa bayi. Sebulan lebih juga, sebabnya mereka lahir pramatang. Saya ulang alik dua hospital sehinggalah Aydan dapat balik rumah. Kini saya banyak menghabiskan masa di HTA pula untuk jaga Aydin.

"Sambutan raya tahun ini pun biasa-biasa saja. Asalkan boleh beraya dengan anak. Tapi saya kesian dekat Aydan sebab dah lama tak jaga dia. Saya banyak jaga Aydin di hospital. Aydan pula dijaga ibu mentua.

"Suami saya rider GrabFood. Sebelum ini saya kerja kerani kilang, tapi saya dah berhenti untuk jaga anak," ujar Shahira yang menetap di Kampung Melayu, Sungai Buloh, Selangor.

Saya dah kering air mata, kadang-kadang nak nangis tapi saya cuba kuat sebab tak nak tunjuk depan orang.

SHAHIRA

Dalam pada itu, suami Shahira turut memohon bantuan kewangan menerusi Facebook bagi mengumpul dana pembinaan bilik khas anak mereka.

Menurut Shahira, mereka perlu menyediakan bilik khas dengan kelengkapan tertentu sebelum Aydin dibenarkan discaj dan meneruskan rawatan di rumah mereka sendiri.

"Aydin bergantung kepada dua mesin susu. Satu yang direct masuk tiub perut. Satu lagi masuk dalam saluran darah melalui dada. Jadi sekarang saya tengah belajar salah satu mesin susu berkenan.

"Cuma pada minggu kedua Ramadan hari tu, doktor benarkan saya bawa balik Aydin ke rumah selama sehari, off mesin pada hari tu. Doktor bagi kami cuba sehari. Sekarang kami kutip dana untuk buat bilik khas Aydin.

kembar1

Kembar comel Aydin (kiri) dan Aydan (kanan) yang kini berusia 10 bulan.

"Alhamdulillah setakat ini dah dapat kumpul lebih RM6,000. Bilik dah siap, cuma tinggal pendawaian belum selesai. Peti ais untuk simpan susu dan katil berpagar masih belum dibeli. Doktor akan datang tengok dulu bilik tu. Kalau semua dah lengkap, bolehlah kami bawa Aydin balik.

"Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan. Moga mereka semua dimurahkan rezeki. Saya dah kering air mata, kadang-kadang nak nangis tapi saya cuba kuat sebab tak nak tunjuk depan orang.

"Suami, keluarga dan anak-anak yang jadi kekuatan. Harapan saya kalau boleh tak nak dia pakai mesin susu suatu hari nanti, nak dia sama-sama membesar cara normal macam abangnya, tak perlu pakai wayar sana-sini.

kembar3

Aydin kini masih lagi dirawat di hospital dan terpaksa bergantung kepada dua mesin susu.

"Mesin susu tu pun bergantung pada Adyin, kalau dia dah okay, InsyaAllah suatu masa nanti tak perlu pakai dah," ujarnya lagi.

Tambah Shahira, mesin susu yang dimasukkan melalui tiub perut digunakan selama 24 jam sehari, manakala satu lagi mesin yang melalui dada anaknya hanya digunakan selama 16 jam sehari.

Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan untuk bayi berusia 10 bulan itu, Shahira boleh dihubungi menerusi talian 011-28376393.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain