suria

Jumpa pocong tak pernah, tapi kain kafan lama perkara biasa! Penggali kubur viral tak sangka jadi perhatian ketika beraya

Ayep mula menggali kubur sekitar tujuh tahun lalu.

PENGALAMAN yang menginsafkan.

Demikian kata Muhamad Harith Saring, 26, mengenai kisah dirinya yang menjadi sukarelawan penggali kubur sejak tujuh tahun lalu.

Menurut pembantu tadbir itu, dia terpanggil untuk menjadi sukarelawan kerana risau memikirkan ramai penggali kubur sedia ada yang semakin meningkat usia.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula gali kubur sejak umur 12 tahun, pemuda usia 22 tahun tak terfikir cari kerja lain - “Saya minat urus jenazah”

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba baring dalam liang lahad! Pemuda ini tak takut gali kubur, tinggalkan dulu kerja hakiki jika ada kematian

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Ayep sempat memperincikan semula kisahnya sebagai penggali kubur yang disifatkan penuh dengan cabaran.

"Saya mula gali kubur ketika habis sekolah tingakatan lima. Pada waktu itu, saya ikut kawan-kawan saja dan ia diteruskan sehingga ke hari ini.

"Awal-awal tu, tipulah kalau kata tak takut. Ada kawan yang penakut, ada juga kawan yang berani. Tapi kami semua nak cuba benda baru, jadi kami teruskan saja.

"Dulu, bila masuk dalam liang lahad, mesti saya terfikir bagaimana jika saya mati suatu hari nanti, macam mana keluarga saya nanti. Ia membuatkan saya rasa nak bertaubat, tak nak buat benda tak baik.

"Pada saya, kita anak muda kena belajar, tak boleh harapkan yang tua saja. Bila mereka dah tak larat, siapa nak ganti selepas mereka pergi? Bila tiada budak muda, maka tiadalah pewaris," ujarnya.

Menurut sukarelawan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Selangor itu, dia terkejut apabila video proses menggali kubur yang dikongsinya menerusi TikTok meraih lebih 7 juta tontonan.

ayep3

Proses menggali kubur dianggap sebagai satu pengalaman menginsafkan buat dirinya.

Kata jejaka bujang itu, dia turut dihujani pelbagai soalan daripada netizen termasuklah yang berunsurkan mistik selepas video berkenaan tular di platform berkenaan.

"Saya baru saja buat TikTok pada 26 Mac lalu. Saya buat TikTok sebab kawan yang suruh. Saya awalnya tak mahu kerana sedar diri ini pemalu. Tapi saya cuba atas dorongan kawan.

"Tak sangka pula video gali kubur akan viral. Bila saya pergi beraya, ada yang tegur saya. Mereka cam saya daripada video viral itu. Ada juga yang berbisik dengan saudara sambil tunjuk ke arah saya.

Dah tujuh tahun saya gali kubur, belum ada benda mistik yang berlaku. Alhamdulillah, tiada apa-apa setakat ini.

AYEP

"Bila orang puji, saya rasa terharu. Di sebalik video viral itu, ada juga yang tanya mengenai cerita hantu, tanya tentang jumpa pocong, ular dan sebagainya.

"Tapi dah tujuh tahun saya gali kubur, belum ada benda mistik yang berlaku. Alhamdulillah, tiada apa-apa setakat ini. Ada juga yang tanya sekiranya saya jumpa kain kafan lama ketika gali kubur, itu perkara biasa," ujarnya lagi.

Menurut Ayep, dia dan rakan-rakan sukarelawan bukan sahaja menguruskan jenazah biasa, malah turut terlibat dalam pengebumian mangsa Covid-19.

ayep2

Antara sukarelawan lain yang turut bertungkus-lumus menggali kubur bersama Ayep.

Tambah Ayep lagi, dia juga terbuka jika ada anak-anak muda yang mahu menimba ilmu dalam bidang berkenaan.

"Ada juga yang tanya nak belajar gali kubur. Saya kata boleh saja. Tapi lagi bagus kalau belajar kat tempat dia tinggal. Setiap kawasan mesti ada kubur.

"Tapi, kalau datang tempat saya pun, InsyaAllah boleh ajar. Benda baik saya akan kongsi. Tapi sekatat ni ada yang tanya macam tu saja, belum ada yang hubungi saya betul-betul," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain