suria

Video isteri tolak motor roda tiga bawa suami kudung kaki, anak kecil bikin ramai sayu... Wanita dedah cerita di sebaliknya

Zaheera terserempak dengan keluarga tiga beranak ini ketika dalam perjalanan ke pasar raya.

BELUM reda kesedihan warganet selepas melihat video seorang lelaki menolak isterinya menggunakan kerusi roda di persimpangan lampu isyarat, kini tular satu video yang seakan-akan sama.

Perkongsian video terbaharu itu menyaksikan seorang wanita sedang menolak motosikal roda tiga yang dinaiki oleh anak kecilnya, manakala suaminya yang kudung kedua-dua belah kaki pula berkerusi roda dan berpaut pada kenderaan tersebut.

Rakaman yang dibuat oleh pelayar bernama Zaheera Hamidi, dipercayai berlaku ketika wanita itu melalui Jalan Perak, Taman Bandar Baharu di Kampar, Perak, pada pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Sehari selepas hadiah kereta buat wanita bawa OKU... Ebit Lew beri Proton Saga kepada suami isteri istimewa pula, siap bayar cash!

ARTIKEL BERKAITAN: Pantas! Ebit Lew hadiah Perodua Bezza kepada wanita bawa OKU dalam motosikal roda tiga... Tapi netizen pertikai, kenapa dapat cepat?

Bercakap kepada mStar, Zaheera berkata, ketika itu dia dalam perjalanan untuk membeli barangan dapur di sebuah pasar raya, sebelum terserempak dengan keluarga tiga beranak itu.

"Saya nak ke Econsave, nak beli barang memasak untuk berbuka puasa. Ketika itu sekitar pukul 11 pagi.

"Selama ini memang selalu nampak mereka tapi tidak berkesempatan nak rekod. Niat saya rekod sebab mahu permudahkan urusan mereka," ujar wanita berusia 33 tahun itu.

Zaheera yang menetap di Kampar berkata, dia sering terserempak dengan keluarga tersebut sejak berniaga di sebuah medan selera di Kampar.

"Saya biasa nampak keluarga ini... ketika itu si suami masih mempunyai kaki. Kemudian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tengok kedua-dua kakinya dah tak ada.

igs

Perkongsian Zaheera di Instagram Story.

"Sejak itu mereka naik benda itulah untuk ke mana-mana. Saya sedih sebab anaknya lebih kurang sebaya dengan anak saya.

"Mereka orang Cina. Saya tak reti nak pergi jumpa mana-mana pihak jika situasi seperti ini," ujarnya lagi.

Zaheera bagaimanapun menarik nafas lega sebaik menerima perkembangan terbaharu mengenai keluarga berkenaan susulan perkongsian tersebut menjadi tular.

Saya biasa nampak keluarga ini... ketika itu si suami masih lagi berkaki. Kemudian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tengok rupa-rupanya dua kaki dah tiada.

ZAHEERA HAMIDI

"Saya dapat tahu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru saja datang ke rumah mereka. Bagi saya, ini petanda yang baik. Rezeki mereka," katanya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sayu malah ada yang berusaha mencari maklumat untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut.

"Boleh tahu alamat lengkap keluarga ni? Ada sesiapa tinggal berhampiran di sekitar kawasan perumahannya tak?

komen 3 beranak

Netizen meluahkan rasa hiba dengan video perkongsian Zaheera.

"Realiti memang masih ramai rakyat kita yang susah. Didoakan moga semua itu nanti jadi asbab untuk kita menjadi hamba Allah yang baik," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu, segelintir netizen turut membuat pautan kepada akaun Facebook milik Ebit Lew agar video berkenaan mendapat perhatian personaliti dakwah itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain