suria

Menggeletar, liuk-lintuk badan malu disentuh suami selepas akad nikah... ustazah ada teguran sayang buat pengantin ketika sesi batal wuduk

Menurut Ustazah Sharifah Zahidah (gambar kecil), wanita muslimah sebenar yang bersikap pemalu pastinya tidak akan membiarkan diri mereka menjadi bahan usikan orang ramai. (Gambar Hiasan)

VIDEO-video memaparkan pasangan pengantin yang tersipu-sipu malu tatkala pertama kali bersentuhan selepas dinikahkan sudah banyak kali tular di media sosial.

Malah, netizen turut memberi pujian, menyifatkan pengantin tersebut sebagai orang yang sangat menjaga batas ketika masih bujang sehingga kaku untuk bersentuhan dengan pasangan sendiri.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Sharifah Zahidah Syed Noh bagaimanapun berpandangan sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berjurai air mata di pelamin, hiba tengok bapa menangis tak sanggup ‘lepas’ anak bongsu - “Saya kira, memang sembilan kali ulang lafaz”

ARTIKEL BERKAITAN: Malu-malu selepas akad nikah, sesi fotografi paling mencabar... pengantin lelaki akui isteri tak biasa manja-manja, kasar pun tidak tapi romantik!

"Saya rasa, macam semakin trending pula video 'pengantin malu-malu' untuk sesi pembatalan air wuduk dan kemudian ditularkan dengan caption yang menunjukkan 'betapa muslimah' dan 'betapa sucinya' pengantin perempuan yang menjadi bukti dia tak pernah disentuh mana-mana lelaki sebelum ini.

"Lagi advanced aksi gelabah malu yang ditunjukkan, lagi tinggi darjat dan kesucian wanita itu di mata orang. Ada yang menggeletar waktu nak salam suami sambil tergelak-gelak meliuk-lintuk badannya ke kiri dan ke kanan.

"Mula-mula tunjuk menggeletar, lepas tu main tarik-tarik tangan, cuit sentuh sikit, tarik tangan macam kena renjatan elektrik, lepas tu gelak-gelak lagi, lepas tu main cuit tarik cuit tarik.

ustazah1

Ustazah Sharifah Zahidah berkongsi mengenai topik itu menerusi Facebook.

"Sampai penonton semakin galak mengusik dan suasana pun menjadi riuh rendah. Sweet dan comel katanya bila malu-malu pada sentuhan pertama," ujarnya menerusi nukilan di Facebook pada Rabu.

Tambah Sharifah Zahidah, upacara menyarung cincin selepas akad nikah sepatutnya berlangsung dengan singkat, namun ia meleret dengan usikan nakal penonton sehingga meletakkan pula pengantin dalam situasi memalukan.

"Sesi sarung cincin yang ringkas dan sepatutnya berlangsung selama 10 saat dengan ucapan Alhamdulillah selepas selamat menyarung cincin ke jari masing-masing, akhirnya menjadi satu sesi nakal yang kadangkala diselang seli dengan usikan lucah dan memalukan dari penonton dan memakan masa lebih lama.

"Lantas meletakkan pengantin perempuan yang konon sedia malu itu dalam situasi memalukan yang jauh lebih panjang," ujarnya panjang lebar.

Simpan malu-malu kalian di depan suami dalam saat peribadi kalian. Biar kalian saja yang menikmati saat-saat malu itu.

USTAZAH SHARIFAH ZAHIDAH

Dalam pada itu, Sharifah Zahidah turut mengimbas pesanan seorang guru ketika dia menyambung pengajian di Syria, suatu masa lalu.

"Saya teringat Syeikh saya di Syria dulu pernah berpesan... real muslimah when they feel shy, it shows on their faces and not their inappropriate action. But people know. And people respect them out of knowing that. Just like the story of Musa with daughters of Nabi Syuib alaihissalam.

"Pesanan akhir beliau... if you really feel shy, you won't giggle out of your shyness. Shyness is an act that uplift a woman. Giggling out of shyness (gedik) just makes women a target for bad and unappropriate jokes," ujarnya lagi.

Menurut Sharifah Zahidah lagi, wanita muslimah sebenar yang bersikap pemalu pastinya tidak akan membiarkan diri mereka menjadi bahan usikan orang ramai.

Malah, dia turut menitipkan pesan kepada ibu bapa agar menasihati anak gadis mereka berhubung perilaku itu.

ustazah4

Upacara menyarung cincin selepas akad nikah sepatutnya berlangsung singkat. (Kredit Foto: Kanda Kacak)

"Ya, begitulah. Wanita muslimah yang benar-benar malu untuk acara sarung cincin, takkan tergedik tunjuk malu dan membiar diri menjadi bahan gelak dan usikan ramai orang. Yang betul-betul malu, akan kaku (tetapi tetap matang dan mampu memberi kerjasama) lantas menyegerakan proses sehingga tak mengundang apa-apa usikan dan imaginasi liar terhadap mempelai.

"Kita ibu yang ada anak perempuan ni, nasihatkan anak-anak gadis kita yang bakal berumahtangga kelak. Jika benar-benar malu dan tak selesa, tangguhkan acara dan jadikan ianya sesi tertutup saja. Simple. Bukan meneruskan acara buat tatapan umum sehingga jadi satu sesi usikan yang menggores maruah wanita. Saya yang lihat, terasa jauh lagi malu. Percayalah, tak sweet pun begitu.

"Wanita yang high class adalah wanita yang setiap gerak gerinya terpandu dan membuatkan dia mendapat lebih banyak penghormatan dari orang. Bukan jadi bahan usikan-usikan galak orang sekeliling," ujarnya lagi.

ustazah 9

Pasangan pengantin dinasihati agar menyorokkan rasa malu dan tidak mempertontonkan ia secara percuma. (Kredit Foto: Kanda Kacak)

Pada penghujung bicara, Sharifah Zahidah berkata penulisan berkenaan merupakan peringatan sayang buat anak muda yang bakal berumah tangga.

Malah, dia sekali lagi menasihati bakal pengantin agar menyorokkan rasa malu dan tidak mempertontonkan ia secara percuma.

"Saya sayang kalian, adik-adik muda yang bakal berumahtangga. Kerana itu saya menulis. Supaya trend ini tak semakin galak dan kian diviralkan.

"Simpan malu-malu kalian di depan suami dalam saat peribadi kalian. Biar kalian saja yang menikmati saat-saat malu itu. Jangan pertontonkan kepada kami secara percuma. Ianya menggores kemuliaan kalian," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Sharifah Zahidah bukan sahaja bergelar guru bahasa Arab dan al-Quran, malah beliau juga seorang penceramah dan turut mengusahakan perniagaan makanan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu