suria

Nyaris hangus RM10,000! Wanita ini hampir gadai barang kemas gara-gara taktik baru scammer... data peribadi tepat, confident level penipu sampai ke langit

Husna hampir menggadai semua barang kemasnya di bank demi membayar wang waran berjumlah RM10,000.

TAKTIK penipuan atau kaki ‘scammer’ sememangnya mempunyai pelbagai helah dengan 1001 alasan.

Setiap hari kita akan dihidangkan dengan pelbagai jenis scammer yang berjaya mengaut ribuan ringgit daripada mangsanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Setuju nak beli, nak membayar banyak helahnya! Penjual handphone dedah perangkap scammer, “Dulu ABC, kini sistem pemindahan berjadual”

ARTIKEL BERKAITAN: Juruwang sarat hamil nyaris ditipu warga asing, selamba ‘sound’ scammer... pernah melayang RM100 sebab trick sama - “Saya bukan malas...”

Terbaharu, Nurhusna Said, nyaris ‘termasuk perangkap’ dengan modus operandi scammer yang dikatakan menggunakan teknik baharu menurutnya.

Jelasnya menerusi posting di Facebook, Husna mengakui bahawa dia hampir menggadai barang kemas miliknya kerana terpaksa membayar sejumlah RM10,000 kepada agensi dipercayai syarikat insurans AIA pada hari Rabu lalu.

“Hari ni hari dalam sejarah. Sebelum ni dengar cerita-cerita daripada orang lain, rupa-rupanya hari ni nak kena pula. Hampir-hampir ditipu RM10,000,” jelasnya.



Wanita ini menerima panggilan daripada sebuah syarikat insurans memintanya untuk memberikan butiran kepada mereka.

Menurut wanita ini lagi, dia menerima panggilan kononnya daripada syarikat insurans berkenaan pada Sabtu lalu menyatakan bahawa dirinya telah membuat satu tuntutan insurans sebanyak RM33,000.

Bagaimanapun setelah beliau menafikan, pihak agensi telah meminta agar Husna membuat laporan polis bagi mengelakkan namanya disenarai hitamkan.

“Ni taktik baru mereka guna. Sebelum ni kalau ada orang call beritahu aku ada hutang LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau bank, memang aku tak layan sebab boleh agak tu scammer tapi yang ni lain sikit.

“Mula-mula aku dah agak menipu sebab mana ada syarikat insurans kerja hari Sabtu tapi aku mula percaya bila dia nyatakan nama dan nombor kad pengenalan aku dengan betul.

“Lepas beritahu yang aku tak ada buat tuntutan insurans dan tak ambil insurans AIA pun, pihak berkenaan nasihatkan aku buat laporan polis bagi mengelak disenarai hitamkan tapi sebab Sabtu, mereka tak dapat nak settlekan laporan jadi terpaksa tangguh sampai hari Isnin,” katanya setelah menceritakan semula kejadian.

Namun disebabkan beberapa faktor, kes ini telah berlanjutan sehingga 8 Mac 2022 yang mana Husna telah menerima satu lagi panggilan daripada individu sama.



Husna hampir menggadaikan barang kemas kerana cemas dengan ugutan scammer bahawa dirinya akan ditangkap polis.

Agensi ini telah meminta Husna untuk membuat laporan melalui panggilan telefon kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (IPK) Negeri Sembilan.

Tambahnya, bagi meyakinkan Husna, pemanggil berkenaan telah memberikan maklumat secara terperinci kepadanya seperti nama, nombor kakitangan, nombor rujukan serta empat digit terakhir kad ATM miliknya.

Panggilan Husna telah disambungkan ke IPK Negeri Sembilan kerana dikatakan kes Husna ini berlaku di Seremban, Negeri Sembilan.

“Aku pun bagi details ikut apa yang orang tadi bagi dekat orang menyamar jadi polis ni. Lepas tu dia tanya aku ada dengan siapa. Lalu dia meminta aku duduk di tempat yang tiada orang boleh dengar perbualan kami. Polis scammer ini cakap, rakaman akan terbatal jika bunyi persekitaran bising.

“Kononnya ia ada kaitan Akta Rahsia Rasmi jadi tiada siapa boleh dengar termasuk suami aku. Dia siap beritahu yang 10 hari lepas ada orang kes macam aku kena tangkap sebab sebarkan pada orang lain. Masa tu dia siap minta lagi maklumat dan tanya pasal berat, tinggi dan tudung apa aku pakai.

“Lepas aku dah bagi details, dia bagi pula maklumat tu pada orang lain untuk sahkan samada aku terlibat dengan kes lain. Tiba-tiba dia beritahu aku terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang secara haram,” kata Husna.



Husna bagaimanapun tidak sempat menggadaikan barang kemas miliknya kerana sedar bahawa ia adalah satu taktik penipuan sahaja.

Bercerita lanjut, Husna berasa sangat sedih dengan tuduhan yang diberikan semasa panggilan tersebut.

Malah, panggilan Husna ini kemudian dikatakan telah disambungkan kepada ketua scammer yang kemudiannya bertindak telah menggertaknya.

Wanita ini dipaksa untuk memasukkan sejumlah wang bernilai RM10,000 untuk duit waran dengan kadar segera bagi mengelak dirinya masuk lokap.

“Aku percaya bila dia gertak tu memang nampak real. Jadi tak pelik bila ramai yang percaya dan tertipu sebelum ni. Aku hampir nak gadaikan barang kemas sebab aku dah ada depan bank masa tu.

“Tapi masa berjalan masuk bank tu Allah 'ilhamkan' aku. Baru aku teringat kes scammer lain yang melibatkan kes polis sebelum ni. Jadi aku tak sempat nak gadaikan barang kemas. Alhamdulillah Allah selamatkan aku daripada berbuat demikian,” ujar Husna.

Setelah apa yang berlaku, Husna turut menitipkan pesannya semasa berkongsi cerita ini kepada orang lain agar tidak menjadi mangsa penipuan scammer melalui kaedah sama.



Tangkap layar perkongsian Husna yang menjadi tular di Facebook miliknya.

Ujarnya, dia percaya bahawa panggilan itu adalah dari agensi sah kerana mereka boleh nyatakan nama dan nombor kad pengenalannya dengan betul.

“Aku nak pesan, kalau ada orang minta nombor akaun bank atau maklumat lain jangan bagi atau bagi nombor palsu saja.

“Apa-apa pun kena berhati-hati kalau nak jawab panggilan daripada nombor bermula dengan pangkal 03 dan 06 atau boleh install true caller punya aplikasi untuk keselamatan,” ujar Husna yang mengakui bahawa ini merupakan kali pertama terkena penipuan sedemikian rupa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain