suria

Ramai remaja ‘tunggu masa’ keluar rumah sebab tak nak derhaka! Penceramah minta ibu bapa muhasabah diri, tak salahkan anak 100 peratus

Faiz mempunyai pengalaman tujuh tahun sebagai pembimbing remaja dan keibubapaa.
1 / 4
faiz 2
2 / 4
faiz 3
3 / 4
remauja1
4 / 4

ANAK-anak yang bermasalah tidak wajar dipersalahkan 100 peratus, sebaliknya ibu bapa juga perlu melihat kekurangan pada diri mereka.

Demikian kata pembimbing remaja dan keibubapaan, Faizzul Hakim Abdul Razak, 32, berhubung masalah golongan muda yang semakin menjadi-jadi dalam dunia serba moden hari ini.

Dia yang juga pengasas Faiz Hakim Academy pernah menyantuni ribuan remaja sepanjang tujuh tahun dalam bidang itu, membolehkannya menyelami jiwa mereka dengan lebih mendalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sana-sini kemurungan! Depresi bakal jadi penyakit mental utama rakyat Malaysia, media sosial antara punca - “Kalau tak tahan, jangan jadi Instafamous”

ARTIKEL BERKAITAN: Suka kelar tangan, cakap tentang mati... ibu bimbang ‘berjangkit’ depresi anak umur 12 tahun - “Saya menangis sepanjang malam, tak boleh senyum lagi”

Terbaharu, video memaparkan Faiz bercerita mengenai remaja yang tidak suka suasana di rumah sendiri meraih hampir 200,000 tontonan sehingga dia dihujani pelbagai komen daripada netizen.

"Saya pernah jumpa seorang budak, dia tak suka balik rumah. Saya tanya, dik kenapa tak balik rumah? Dia kata dia tak suka suasana rumah sebab dalam rumah dia ada yang bercakap carut-mencarut.

"Bila dia buat salah sikit, anak akan kena tempias. Mak dia selalu label dia tak guna, menyusahkan, aku besarkan kau susah payah... segala-galanya. Dia tak suka dengar percakapan ini.

"Dia cakap, daripada saya sakit kepala, saya sakit telinga, sakit hati, lebih baik saya tak payah balik rumah bang," ujar Faiz dalam video tular di aplikasi TikTok itu.

Penangan video tular menyebabkan dia dihujani ratusan komen remaja yang meluahkan masalah hampir sama, tak kurang juga yang membanjiri mesej WhatsApp untuk meluah rasa dan meminta pendapat.

"Saya dalam situasi budak tu bang. Saya tak lari rumah, saya jadi keras hati sampai jadi kemurungan. Lama-lama, percakapan saya yang halus jadi kasar.

"Saya dulu asyik lawan, mak tak henti marah. Balik rumah, gaduh. Jadi saya keluar rumah untuk kurang derhaka. Bila ada rumah je, mak selalu marah.

faiz 3

Faiz berharap segala perkongsian yang dibuat menerusi TikTok miliknya dapat memberi manfaat buat golongan anak-anak serta ibu bapa di luar sana.

"Ya Allah inilah yang ku hadap. 24 jam dalam bilik tak keluar. Duduk dalam bilik nangis sorang-sorang. Bila keluar selalu kena toksik dengan mak.

"Orang lain selalu salahkan anak yang derhaka tapi tak pernah salahkan mak ayah yang mendidik," tulis beberapa remaja di ruangan komen aplikasi TikTok.

Menurut Faiz yang juga peguambela dan peguamcara, anak-anak diibaratkan seperti kain putih yang perlu dicorakkan ibu bapa, justeru apa yang dilakukan golongan itu merupakan cerminan kepada orang tua mereka.

"Anak ibarat kain putih, mak ayah yang mencorakkan mereka. Sebelum salahkan anak, mak ayah yang lahir dulu. Kalau anak bermasalah, mesti ada sesuatu yang tak kena tanpa mereka sedari. Tapi kadang-kala, ada juga mak ayah baik tapi anak buat perangai, itu ujian untuk mereka.

Zaman dah berubah, budak sekarang suka memberontak. Kadang-kadang mak ayah kena beralah sikit, tapi tak bermakna kalah.

FAIZ HAKIM

PENGASAS FAIZ HAKIM ACADEMY

"Mak ayah kena muhasabah. Tapi ramai juga mak ayah yang ego. Anak yang salah jadi mangsa. Selepas saya cerita kisah budak yang tak suka suasana rumahnya, saya nampak ramai remaja lain hadapi masalah sama.

"Ada yang tak gembira dengan keluarga, rata-rata mereka tunggu masa nak keluar dari rumah. Kesian budak-budak ini. Selain di ruangan komen, mereka turut hantar WhatsApp pada saya untuk meluah perasaan. Saya nampak ia satu isu kritikal yang tak selesai sampai sekarang. Memang saya rasa kesian," ujarnya.

Menurut Faiz, zaman juga sudah berubah, sekali gus ibu bapa perlu mencari alternatif lain dalam memenangi hati anak-anak mereka.

faiz 2

Faiz banyak membuat perkongsian mengenai remaja dan keibubapaan menerusi TikTok miliknya.

"Jangan ikut kata hati. Zaman dah berubah, budak sekarang suka memberontak. Kadang-kadang mak ayah kena beralah sikit, tapi tak bermakna kalah.

"Maknanya, mak ayah kena ada plan untuk takluk hati anak-anak, supaya jadi dekat dengan mereka. Bukan dengan cara marah atau maki, ia akan buat anak-anak makin keras hati," ujarnya.

Menurut Faiz, dia berharap segala perkongsian yang dibuat menerusi TikTok miliknya dapat memberi manfaat buat golongan anak-anak serta ibu bapa di luar sana.

remauja1

Ramai anak muda meninggalkan komen berkongsi kisah mereka menerusi TikTok. (Gambar Hiasan)

Jelasnya lagi, segala apa yang dikongsi merupakan pengalaman-pengalaman yang dikutip sepanjang menjalankan seminar dan latihan dengan golongan itu sejak tujuh tahun lalu.

"Saya dah banyak buat ceramah dan training dengan pelajar serta ibu bapa. Dah lama juga terfikir nak kongsi dalam bentuk video pula, tapi tak tahu macam mana.

"Akhirnya saya buat TikTok untuk cerita pengalaman-pengalaman sepanjang berceramah merata-rata selama ini. Saya mula di TikTok pada November lepas, tapi video mengenai topik-topik remaja ini mula dikongsi sejak minggu lepas.

"Saya pun tak sangka ia dapat perhatian ramai. Melalui video-video parenting, saya nak didik ibu bapa dan remaja, pada masa sama saya nak kongsi dilema-dilema yang berlaku.

"Sepanjang buat training dengan golongan remaja, saya nampak ada perangai mak ayah yang salahkan anak. Secara tak langsung, anak jadi mangsa. Saya harap perkongsian video-video saya dapat buka mata mereka untuk tak salahkan anak semata-mata," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain