suria

Peguam komen trend ‘unboxing by husband’, minta pengantin tanya diri sendiri sebelum nak saman - “Sifatnya memalukan atau tidak?”

Nor Zabetha mengulas trend 'unboxing by husband' dari sudut undang-undang.

SEJAK kebelakangan ini kecoh dengan trend video 'unboxing by husband' oleh pasangan pengantin baru di aplikasi TikTok.

'Unboxing by husband' memaparkan si suami membuka perhiasan yang dipakai oleh isterinya di hadapan cermin di bilik selepas majlis perkahwinan mereka selesai.

Video tersebut mengundang kecaman ramai termasuk pendakwah dan netizen kerana ia mampu mengundang imaginasi 'liar' mengenai malam pertama, selain dilihat mendedahkan aib isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: PU Syed tegur trend ‘unboxing pengantin’ di TikTok - “Jangan buat perkara mengarut, boleh datangkan fitnah”

Terbaharu, seorang peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor tampil memberi pandangannya mengenai trend yang mencetuskan kontroversi ini.

"Sebelum hendak jawab soalan ini, kita sembang dahulu istilah 'unboxing' ini. Secara literalnya ia membawa maksud perbuatan mengeluarkan barangan atau produk baru dari kotak dan meneliti barangan serta berkongsi pandangan berkenaan produk tersebut di media sosial.

"Jadi bila perkataan 'unboxing' isteri ini, sudah tentunya ia memberi gambaran yang pelik dan jelik kerana biasanya disertakan dengan 'review'.

unboxing

Konten video 'unboxing by husband memaparkan si suami membuka perhiasan yang dipakai oleh isterinya di hadapan cermin di bilik selepas majlis perkahwinan mereka selesai.

"Saya dimaklumkan oleh team saya, ada dalam komen video begini, ada komen berbunyi 'Alaa..apsal tidak review sekali? Review sampai habislah'. Kemudian si suami jadi marah sehingga bergaduh. Kemudian 'off comment'.

"Apa yang mereka fikirkan sewaktu muat naik? Keterujaan malam pertama? Kemudian dikongsikan kepada umum? Tujuan perkongsian yang seperti 'teaser' yang begini bukankah bakal menjemput imaginasi orang lain untuk sama-sama menggambarkan adegan sepenuhnya?" tulisnya panjang lebar.

Tambahnya, jika di dalam filem fiksyen di Malaysia, adegan berunsur intimasi juga tidak dipaparkan secara jelas namun sudah cukup memberikan pemahaman kepada penonton.

"Tetapi itu fiksyen. Bukan pasangan sebenar. Unboxing ini pasangan sebenar. Yang ada ibu ayah, adik-beradik, orang-orang tua. Tidak malukah jika adegan begini dipertontonkan oleh umum?" tulisnya.

Tujuan perkongsian yang seperti 'teaser' yang begini bukankah bakal menjemput imaginasi orang lain untuk sama-sama menggambarkan adegan sepenuhnya?

NOR ZABETHA MUHAMAD NOR

Menghuraikan dengan lebih lanjut dari sudut undang-undang, untuk membuat apa-apa pertuduhan bagi perbuatan jelik, sumbang atau lucah, ia perlu disertakan elemen yang sangat kuat, jelas dan nyata.

"Contohnya memang jelas video intimasi atau tanpa berpakaian yang diviralkan. Ini memang jelas, sumbang, lucah dan jelik. Ada beberapa Seksyen dakwaan.

"Video-video mencabut pin tudung satu demi satu, sambil si suami mencium dahi bukanlah secara jelas kesalahan jenayah lucah kerana melibatkan suami isteri yang sah yang secara rela membuat naik video tanpa adegan lucah. Pada pendapat saya dari sudut jenayah bukan kesalahan.

"Bagaimana pula jika sewaktu video ini dimuatnaik, ada pula orang komen seperti 'Untunglah bang malam pertama', kemudian ditambah pula dengan komen lucah berkenaan dengan susuk tubuh isteri. Boleh tidak ambil tindakan?

"Ini tertakluk kepada fakta kes tetapi saya ingin ingatkan, bagaimana kita sebagai faktor penyumbang 'contributor' kepada perbuatan atau penulisan orang yang komen tadi?" tulisnya.

nikah

Konten video tersebut dirakam selepas majlis perkahwinan selesai bagi berkongsi kegembiraan pasangan pengantin yang sudah sah bergelar suami isteri. Gambar hiasan.

Justeru, Nor Zabetha sekali lagi menekankan perkara pokok kepada isu ini, iaitu tujuan pasangan yang memuat naik video sedemikian.

"Kalau hendak saman orang kerana memalukan kita di ruang komen selepas muat naik video 'unboxing' isteri tanya semula diri kita, video 'unboxing isteri' itu sifatnya memalukan atau tidak?

"Macam-macam content zaman sekarang. Kadang-kadang bila usia muda, kita selalu teruja untuk ikut trend semasa atau kita rasa cukup hebat dengan perbuatan kita.

"Bila usia kian meningkat, kadang-kadang kita terfikir, betapa tidak bijaknya kita dahulu demi dan betapa jika boleh ubah masa semula," tulisnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain