suria

“Kenapa saya tak macam orang lain?” - Pemuda ini pasrah sendirian di majlis graduasi, dah 2 kali konvo mak ayah tak dapat datang

Kamal yakin ibu bapanya bangga dengan kejayaan yang diraih dan tidak berkecil hati apabila mereka tidak hadir ke majlis graduasinya.

SETELAH melalui proses pengajian yang penuh mencabar, hari graduasi boleh dianggap sebagai kemuncak bagi perjalanan hidup setiap pelajar.

Hari penuh bersejarah itu sudah pastinya akan lebih meriah jika ia diraikan dan disaksikan oleh keluarga, khususnya ibu bapa tercinta.

Namun, lain pula cerita graduan Ijazah Sarjana Pendidikan Seni Visual ini apabila hari graduasinya pada 22 November lalu diraikan sendiri tanpa kehadiran ibu bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Plan macam-macam tapi hasrat rai hari bersejarah bersama ibu tak kesampaian, air mata graduan ini tumpah saat dengar lagu Sudirman di majlis konvo

ARTIKLE BERKAITAN: 2 kali majlis ditunda, graduan melaram jubah konvo demi cipta kenangan sendiri... paling tak lupa kisah hampir putus asa di Jepun

Menurut Kamaruddin Mohd Darwin, 25, situasi itu bagaikan mengulangi episod lepas yang mana majlis graduasi pengajian peringkat Ijazah pada tahun 2018 turut diraikan sendiri tanpa keluarga di sisi.

"Konvo pertama dulu mak ayah tak datang kerana sibuk dengan kerja. Konvo kali ini mereka tak dapat datang juga, tapi kali ini kerana kesihatan yang tak mengizinkan.

"Ayah saya menghidap strok, mak saya pula berhadapan masalah diabetes. Jadi, ini kali kedua saya konvo berseorangan. Saya pun tak nak susahkan mereka.

"Nak kata sedih, memang sedih bila tengok kawan-kawan raikan konvo dengan keluarga, dapat hadiah dan sebagainya. Tapi lain pula situasi saya pada hari itu," ujarnya yang mesra disapa Kamal.

kamal2

Majlis graduasi Kamal berlangsung pada 22 November lalu.

Tambahnya, dia yakin ibu bapanya bangga dengan kejayaan yang diraih dan tidak berkecil hati sekiranya mereka tidak hadir ke majlis penuh bersejarah itu,

Menurut graduan Management & Science University (MSU) Shah Alam, Selangor itu, dia tetap gembira memandangkan rakan-rakan dan tenaga pengajar turut memberikan sokongan kepadanya.

Bila murid datang ucap terima kasih atas ilmu yang dikongsi, itu yang memberi kepuasan kepada saya.

KAMAL

"Mak ayah selalu cakap, kalau nak belajar jangan pernah berhenti sampai satu tahap saja. Walaupun mereka tak tunjuk secara zahir, saya tahu mereka gembira dan bangga dengan apa yang saya capai.

"Tak apalah saya konvo sendirian, saya masih ada kawan-kawan yang berikan sokongan. Pensyarah juga beri kata-kata semangat.

"Awalnya, saya juga tertanya-tanya... kenapa saya tak sama macam orang lain? Lepas konvo boleh bergambar dengan keluarga. Rasa sedih, rasa kelakar pun ada.

"Tapi saya tetap bersemangat. Selepas konvo, saya tarik rakan-rakan untuk bergambar, mereka gantikan mak ayah saya," ujarnya berseloroh.

kamal3

Kamal kini bertugas sebagai guru di Kedah.

Kata Kamal, dia turut berkongsi kisah itu menerusi bingkisan video ringkas di TikTok dan tidak menyangka akan meraih perhatian ramai.

Jelas Kamal, dia terharu apabila dihujani kata-kata semangat daripada netizen yang tidak putus-putus menitipkan doa dan ucapan tahniah atas kejayaan yang diraih.

Mengenai dirinya, Kamal berkata dia sudah bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Jitra, Kedah sejak lebih setahun lalu.

Tambahnya, dia menjalani pengajian Ijazah Sarjana ketika sudah bergelar pendidik dan mengakui ia bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Namun kata jejaka dari Kelantan itu, dia percaya akan konsep rezeki dan sentiasa berfikiran positif dalam memberikan yang terbaik buat para pelajarnya.

kamal4

Ibu bapa Kamal tidak dapat hadir ke majlis graduasinya atas faktor kesihatan.

"Saya mengajar subjek Seni dan Sastera Bahasa Inggeris. Dah setahun setengah saya jadi cikgu.

"Saya punya impian nak jadi doktor falsafah. Tapi dalam peluang yang ada, saya cuba mohon apa-apa bidang yang boleh jamin masa depan.

"Bidang ini pada saya, ia sentiasa mengalir sampai bila-bila. Apa yang saya belajar, saya turunkan pada murid. Nanti mereka juga akan guna ilmu itu. Ia sentiasa berterusan.

"Bila dah jadi cikgu, baru saya sedar apa yang cikgu saya lalui dulu. Murid-murid juga merupakan refleksi diri kita waktu kecil dulu.

"Bila murid datang ucap terima kasih atas ilmu yang dikongsi, itu yang memberi kepuasan kepada saya dalam mengajar," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain